Oleh: Salwah Aramat
RANAU : Satu program Bicara Profesional awal tahun 2020 yang diadakan di Dewan Masyarakat di sini, pada 03 Februari bermula 7.00 pagi akan dihadiri Pengarah Pendidikan Negeri sabah, Dr. Mistirine Radin.
Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, merangkap Pengerusi Program, Majus Munsing (gambar) memberitahu, majlis tersebut akan dihadiri para Pengetua, Guru-Guru Besar, para Penolong Kanan Pentadbiran (SR dan SM), Penolong Kanan Petang (SM), Pegawai SIPartnes, Pegawai SIC+, Pegawai Pentadbir Sekolah dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau, PPD Tongod Telupid dan PPD Kota Belud.
“Kita mengharapkan kehadiran Guru-Guru Besar serta Guru-Guru Penolong Kanan Sekolah yang telah mendapat surat jemputan supaya hadir memanfaatkan program itu kelak”, jelas Majus ketika menghubungi Media kelmarin.
Menurutnya, objektif utama program itu ialah Memacu Sistem Penyampaian Jabatan Pendidikan Negeri Sabah secara efisen, Mengkordinasi Operasi Pendidikan di peringkat JPN Sabah, PPD dan Sekolah, Menetapkan Sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) JPN Sabah, tahun 2020 dan Menyelaras Tindakan Bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan Sijil menduduki Premis dan Status Tanah Sekolah.
Majus memaklumkan antara aktiviti akan diadakan sempena program itu, termasuklah Taklimat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM), Taklimat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Pembentangan Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Pembentangan Sektor-Sektor seterusnya Bicara Profesional dan Dialog bersama Pengarah JPN Sabah selain Pamiran Pendidikan. -T A M A T-