KENANGAN… Timbalan Pengarah Persekutuan, Zulkifli Hassan (duduk, tengah), bergambar bersama peserta Program 2 Years Exit Programme (2YEP), pegawai jabatan dan wakil penyedia latihan selepas majlis penutupan bengkel di sini, pada Rabu.
KOTA KINABALU: Program 2 Years Exit Programme (2YEP) terus menjadi antara inisiatif utama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam memperkasakan penerima bantuan dan Ahli Isi Rumah (AIR) agar mampu berdikari sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan kerajaan.
Timbalan Pengarah Persekutuan, Zulkifli Hassan, berkata program berkenaan berteraskan pemerkasaan serta transformasi minda melalui pendekatan kerja sosial dan kebajikan produktif bagi meningkatkan taraf sosioekonomi peserta dalam tempoh satu hingga dua tahun.
Beliau berkata, menerusi program itu, peserta dibimbing untuk membangunkan potensi diri melalui latihan kemahiran, keusahawanan, bimbingan dan pemantauan sehingga mampu menjana pendapatan secara mampan.
“Program ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan pendapatan peserta, malah membentuk perubahan minda supaya mereka mampu berdikari, meningkatkan kefungsian sosial dan akhirnya keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya ketika berucap pada majlis pelaksanaan latihan Program 2YEP 2026 di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada APEX Nusantara Event Solution Sdn. Bhd. yang dilantik sebagai penyedia latihan bagi Program 2YEP 2026 serta mengucapkan tahniah kepada peserta yang terpilih mengikuti program berkenaan.
Menurut beliau, pelaksanaan program memberi manfaat kepada penerima bantuan dan AIR JKM menerusi suntikan modal, latihan kemahiran keusahawanan serta bimbingan berterusan bagi membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.
Katanya, pengisian program dirangka berdasarkan tahap keupayaan, motivasi, sikap dan persekitaran keluarga peserta bagi memastikan perubahan minda yang menyeluruh sehingga mereka mampu memperbaiki kehidupan dan meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga.
Zulkifli berkata penyedia latihan yang dilantik dikehendaki melaksanakan kursus, bengkel, bimbingan dan pemantauan dalam tempoh lapan bulan daripada tarikh pelantikan serta mengadakan latihan kepada pekerja kes atau kakitangan JKM mengikut tempoh yang ditetapkan.
Beliau berkata penyedia latihan juga perlu menetapkan sasaran peningkatan pendapatan peserta dalam tempoh tiga bulan selepas mengikuti bengkel latihan pertama, selain memastikan peratusan peserta mencapai purata pendapatan sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan selepas enam bulan mengikuti program.
Menurutnya, peserta akan dibimbing oleh usahawan berjaya atau individu berkelayakan dalam bidang perniagaan bagi membantu mereka membangunkan perusahaan serta meningkatkan pendapatan secara berterusan.
Beliau berkata JKM kekal komited merealisasikan Program 2YEP sebagai mekanisme memperkasakan penerima bantuan yang produktif supaya mampu berdikari dan seterusnya menamatkan kebergantungan terhadap bantuan bulanan mengikut garis panduan pengurusan bantuan kewangan yang berkuat kuasa.
“Melalui perubahan minda, peningkatan kemahiran dan peluang menjana pendapatan, program ini diyakini mampu meningkatkan kesejahteraan sosial serta ekonomi peserta, di samping mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan bagi bantuan kewangan bulanan,” katanya.



