Allahyarham Kamarool Yusoff,
KOTA BHARU: (5 Ogos) Pelakon veteran Kamarool Yusoff, yang lebih dikenali sebagai Cik Man, meninggal dunia pada petang Rabu dipercayai akibat serangan jantung.
Allahyarham yang berusia 68 tahun menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 5.15 petang ketika menerima rawatan di Hospital Tanah Merah, Kelantan.
Difahamkan, Allahyarham sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah saluran jantung tersumbat dan berada dalam pemantauan pasukan perubatan.
Berita pemergian Allahyarham turut dikongsikan oleh pelawak Amir Raja Lawak menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam hantaran itu, beliau memaklumkan bahawa Kamarool telah kembali ke rahmatullah serta mengajak orang ramai mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air, memandangkan beliau dikenali menerusi pelbagai lakonan filem dan drama yang berjaya mencuit hati penonton dengan watak-watak bercirikan komedi.
Allahyarham meninggalkan legasi seni yang akan terus dikenang oleh peminat dan rakan-rakan dalam industri hiburan.
AL-Fatihah



