Gambar hiasan
▪︎
Oleh :Wartawan BDB
RANAU: Produk pelancongan tempatan Negeri Sabah wajar dijadikan bahan cenderamata utama setiap kementerian, agensi atau badan swasta bagi membantu para pengusaha pelancongan khasnya seni kraftangan memperolehi pendapatan tambahan.
Menjelaskan saranan itu, Timbalan Ketua Wiramuda Parti Star Sabah, Kong Soon Choi menjelaskan, penularan pandemik Covid-19 ketika ini telah menjejaskan sebilangan besar produk pelancongan di Sabah.
Justeru, untuk mempastikan para pengusaha pelancongan tempatan khususnya mereka yang mengusahakan seni kraftangan seperti pembuatan tengkolok (Sigah),cenderamata parang, keris, permata atau tenunan kain terus memperolehi pendapatan sampingan, mungkin pihak tertentu khasnya Kementerian Pelancongan boleh mempertimbangkan perkara ini.

“Ketika ini banyak produk pelancongan seperti seni kraftangan yang diusahakan oleh pengusaha tempatan terjejas akibat penularan Covid-19. Kekurangan jumlah pelancong datang ke Sabah menyebabkan pendapatan mereka juga terjejas. Oleh sebab itu, mungkin jika produk-produk pelancongan seperti seni kraftangan berteraskan tengkolok,parang, keris,batu permata atau tenunan kain dijadikan satu bahan cenderamata wajib untuk diberikan kepada setiap tetamu dalam program anjuran jabatan atau agensi tertentu, ini boleh membuka ruang kepada pengusaha untuk menjual produk mereka”
“Pengusaha tidak perlu lagi mengharap sepenuhnya kepada penjualan harian di permis. Sebagai contoh, jika kementerian atau syarikat swasta tertentu menempah 20 buah cenderamata berteraskan tenunan kain batik Sabah, pengusaha sudah ada sasaran perniagaan tetap dan akan lebih fokus untuk merekabentuk tenunan kain yang berkualiti untuk dihantar ke jabatan atau syarikat berkenaan”, jelas Kong ketika ditemui pemberita disini pada Sabtu.

Jumaat lepas Dato Seri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan,Kesenian Dan Kebudayaan Malaysia menyatakan Kerajaan Persekutuan menerusi kementeriannya menyediakan dana sebanyak RM 26.9 juta untuk memulihkan semula beberapa sektor pelancongan yang terjejas di Sabah serta akan membawa beberapa produk pelancongan baru di negeri ini. Daripada jumlah itu, menurutnya sejumlah RM 3.4 juta akan digunakan untuk kerja-kerja pembaikan kawasan serta produk pelancongan.
Bagaimanapun, Kong menyarankan agar para pengusaha produk pelancongan terus memahirkan diri mereka untuk menggunakan aplikasi teknologi moden seperti penggunaan media sosial dan mencipta laman web untuk mempromosikan produk seni kraftangan mereka agar jabatan atau agensi berkenaan tahu mana-mana pengusaha yang ada di negeri ini sekaligus memudahkan mereka berhubung untuk membuat tempahan.
“Saya yakin disetiap jabatan kerajaan atau syarikat swasta ada unit Sumber Manusia yang boleh digerakkan untuk membuat tinjauan bagi mengenalpasti produk-produk kraftangan sesuai untuk dijadikan bahan cendera kenangan kepada tetamu mereka. Ramai pengusaha pelancongan tempatan yang kreatif boleh menyediakan kehendak mereka, berilah mereka peluang”, jelasnya.