28 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Proaktif salurkan maklumat mengenai keluarga miskin: Faimin

FAIMIN (kedua kiri) ketika Ziarah Kasih B40 bersama Biro Kebajikan PGRS Paginatan yang diadakan di Kg Lasing dan Kg Matupang


RANAU: Pemimpin masyarakat termasuk individu perlu lebih proaktif dalam menyalurkan maklumat mengenai keluarga miskin, supaya tidak ada golongan yang terlepas daripada perhatian mana-mana agensi atau kerajaan.


Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan dan Timbalan Ketua Bahagian Paginatan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Faimin Kamin berkata, maklumat dari peringkat akar umbi amat penting bagi memastikan setiap rakyat yang layak dibantu.


“Memang tidak dinafikan masih ada dalam kalangan kita yang terdesak memerlukan bantuan kerana kemiskinan serta cabaran hidup, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang keadaan kehidupan tidak lagi seperti 20 atau 30 tahun dahulu.


“Ke arah itu, kami berharap pemimpin akar umbi dapat lebih proaktif dengan memberi kami rekod dan butiran mereka yang kurang bernasib baik dan sangat memerlukan bantuan seperti itu daripada pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.


Faimin berkata demikian ketika membuat Ziarah Kasih B40 bersama Biro Kebajikan PGRS Paginatan yang diadakan di Kg Lasing dan Kg Matupang, Ranau, di mana tiga warga miskin diziarahi dan diberi bantuan.


Antara rumah yang dilawati dalam majlis itu ialah tha milik seorang Felix dan Danis di Kampung Lasing serta Majakut Basiung di Kampung Matupang Ranau.


Danis merupakan seorang bapa tunggal yang menghidap kanser usus dan pada masa sama menyara tiga anak perempuan yang masih bersekolah.


Felix menghidap penyakit tulang belakang, manakala Majakut seorang warga miskin yang tinggal di pondok usang miliknya.


Tambah Faimin, tujuan utama lawatan itu adalah sebagai salah satu usaha PGRS Paginatan untuk mendekati masyarakat, selain membantu agensi atau pihak kerajaan mengenal pasti golongan yang layak atau patut diberi perhatian.


“Kami mengalu-alukan mana-mana NGO atau GLC yang ingin melakukan CSR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan untuk terus berhubung dengan kami,” katanya.


Dalam lawatan itu, Faimin mengambil kesempatan untuk menyerahkan sedikit sumbangan peribadi kepada keluarga.


Turut serta dalam lawatan itu Pengerusi Biro Kebajikan Rabinin Nawawi, Pengerusi Biro Agama, Wohanis Jain, Pegawai Kebajikan Masyarakat Ranau, Samdin Rijin, Ahli Jawatankuasa PGRS Paginatan, Jeafry Goh dan Siti Jaliha Jiman.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN