25 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mac 10, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

PRN-17 tentukan kesinambungan pembangunan negeri Sabah: Hajiji

GIMIK PERASMIAN..Datuk James menyentuh bebola kaca sebagai gimik perasmian mewakili YAB Ketua Menteri Sabah di Dewan Terbuka Kalabakan.

KALABAKAN: Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri kali ini amat penting kerana ia akan menentukan kesinambungan pembangunan negeri Sabah di bawah GRS.

Sejak diberikan amanah untuk mengemudi negeri ini, katanya, beliau telah memberi penumpuan serius terhadap pertumbuhan ekonomi menerusi sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan selain pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar.

Ini diterjemahkan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), sebuah pelan pembangunan yang inklusif dan komprehensif yang terbukti berjaya membawa Sabah membangun dengan signifikan.

“Masa depan Sabah terletak di tangan kita. Kerajaan negeri telah membuktikan keupayaan dengan rekod pencapaian dalam pelbagai bidang pendidikan, ekonomi, kebajikan, pelaburan, dan juga pengurusan hasil negeri.

“Buatlah pilihan terbaik, yang menjamin kesinambungan pembangunan, kestabilan politik, dan kesejahteraan rakyat – paling penting kerajaan yang didominasi oleh parti lokal,” katanya.

Hajiji yang diwakili Menteri Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib berkata demikian semasa merasmikan Majlis “Kalabakan Laju Untuk Maju” yang diadakan di Dewan Terbuka, Pejabat Daerah Kalabakan pada Isnin.

“Sesungguhnya, majlis ini melambangkan tekad dan iltizam kita untuk membawa daerah ini ke tahap pembangunan yang lebih pesat dan seimbang, seiring aspirasi Sabah Maju Jaya.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Hassan A. Gani Pg Amir ADUN N73 Sebatik dan semua yang terlibat dalam melaksanakan majlis “Kalabakan Laju Untuk Maju” Daerah Kalabakan.

“Hari ini saya hadir bukan sekadar memenuhi undangan, tetapi sebagai bukti komitmen kerajaan negeri untuk melihat Kalabakan menjadi sebuah daerah yang progresif, makmur, dan berdaya saing,” katanya.

Menurutnya, daerah ini mempunyai potensi yang besar untuk menjadi sebuah daerah yang maju berdasarkan kedudukan geografi, kekayaan sumber alam, dan budaya masyarakat setempat.

“Ekonomi rakyat merupakan keutamaan dalam dasar kerajaan negeri. Di Kalabakan, sektor pertanian, perikanan, perladangan, dan pelancongan adalah tonggak utama yang kita ingin terus perkukuh.

“Tanah subur di daerah ini mampu menghasilkan pelbagai tanaman bernilai tinggi seperti kelapa sawit, koko, getah, dan buah-buahan tropika. Hasil ini bukan sahaja untuk pasaran tempatan, malah untuk eksport.

“Selain itu, sektor pelancongan di Kalabakan juga berpotensi besar. Keindahan alam semula jadi, hutan tropika, dan budaya tempatan mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

“Pembangunan produk pelancongan seperti homestay, eko-pelancongan, dan pelancongan komuniti akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Hajijij berkata, Kalabakan tidak boleh ketinggalan dalam arus kemajuan. Justeru, pelbagai projek infrastruktur sedang dilaksanakan, termasuklah menaiktaraf jalan raya utama dan jalan luar bandar dan meningkatkan bekalan air dan liputan bekalan elektrik.

“Begitu dalam sektor pendidikan kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memastikan sekolah- sekolah di Kalabakan dilengkapi kemudahan yang moden dan kondusif.

“Semua inisiatif ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang bukan saja mengutamakan keseimbangan wilayah dan kesamarataan peluang, tetapi juga memastikan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan. Semua yang kita laksanakan ini adalah untuk rakyat,” katanya.

Beliau berharap semoga Kalabakan akan terus laju untuk maju dan dalam usaha ini beliau menyeru kepada semua pihak pemimpin masyarakat, agensi kerajaan, pihak swasta, NGO, dan rakyat untuk berganding bahu menjayakan misi ini.

“Peluang tidak datang selalu; maka kita mesti bertindak pantas, bijak, dan berstrategi. Rakyat Kalabakan juga perlu memanfaatkan peluang dalam pendidikan, kemahiran teknikal, dan keusahawanan.

“Generasi muda khususnya, harus tampil sebagai peneraju dalam bidang- bidang baharu seperti teknologi, inovasi, dan ekonomi digital,” katanya.

Beliau menambah, selepas Indonesia mengumumkan akan memindahkan ibu negara Indonesia ke Kalimantan yang dikenali sebagai Nusantara, kerajaan negeri tidak berlengah sebaliknya terus bertindak untuk merancang dan meneroka peluang-peluang baharu susulan pemindahan itu.

Katanya, terdapat beberapa strategi dan pelan tindakan yang telah dikenalpasti akan dilaksanakan yang akan memberi manfaat kepada negeri Sabah dan Daerah Kalabakan yang terletak berhampiran dengan Kalimantan.

“Salah satu inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan ialah cadangan pembinaan jalan raya yang menghubungkan Simanggaris (Kalimantan) dan Serudong (Kalabakan).

“Jalan tersebut apabila siap dilaksanakan kelak akan memberi implikasi yang besar kepada pembangunan sosioekonomi Kalabakan dan Sabah amnya,” katanya.

Pada majlis itu juga diadakan majlis Penyerahan Geran Tanah Pewartaan kampung, Penyerahan Geran Lot Pantas, Penyerahan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya dan Penyerahan Anugerah Pelajar Cemerlang bagi mengiktiraf kecemerlangan mereka dalam pendidikan.

“Program penyerahan geran tanah tersebut merupakan sebuah program yang dekat di hati rakyat dan saya berharap penganugerahan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima khususnya bagi meningkatkan tahap sosioekonomi mereka,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berharap rakyat di daerah ini agar tidak mudah percaya dengan dakyah negatif disebarkan oleh pihak pembangkang yang datang dengan hanya satu tujuan iaitu menghasut rakyat untuk membenci pemimpin dan kerajaan.

Tambahnya, kerajaan sedar masih banyak lagi projek-projek pembangunan yang perlu dibawa ke daerah ini, justeru dengam sokongan berterusan setiap perancangan akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN