Tan Sri Dr. Abdul Aziz (lima kanan), Mohd Zamerey (empat kanan) dan Prof. Madya Dr. Geoffrey (empat kiri) bergambar kenangan bersama usahawan asnaf.
LABUAN: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Bank Rakyat dan Fakulti Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) melancarkan Projek Asnafpreneur Bank Rakyat di Bilik Eureka, Bangunan Manara UMSKAL, pada Selasa.
Kerjasama ini bertujuan untuk membantu usahawan asnaf di Labuan yang berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka. Melalui projek ini, 30 usahawan asnaf menerima sumbangan kewangan sebanyak RM5,000 oleh Bank Rakyat melalui dana wakalahnya dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM150,000.
Usahawan-usahawan ini juga akan diberi bimbingan dan pantauan khas oleh UMSKAL melalui Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan bagi sesi monitoring, coaching dan motivation selama 6 bulan bermula Mei hingga Oktober 2023.
Menurut Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Ustaz Mohd Zamerey Abdul Razak, program ini merupakan satu inisiatif yang amat dialukan-alukan yang mana bertepatan dengan komitmen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk membantu golongan usahawan meliputi pelbagai sektor dan industri yang terjejas sebelum ini untuk bangkit semula.
“Bank Rakyat sentiasa bersedia dan komited untuk menjadi pemudah cara bagi menjayakan sebarang usaha sama yang memberi pulangan kepada masyarakat secara menyeluruh, khususnya golongan asnaf dan yang memerlukan,” katanya.
Inisiatif ini memperlihatkan keprihatinan dan ihsan Bank Rakyat terhadap kesejahteraan masyarakat lebih-lebih lagi dalam kawasan operasi perbankannya.
Menurut Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal yang mewakili pengurusan tertinggi Universiti Malaysia Sabah berbesar hati dengan kerjasama ini bagi mewujudkan hubungan sinergi di antara PPZ-MAIWP, Bank Rakyat dan juga UMSKAL. Kerjasama ini melibatkan usahawan-usahawan asnaf di Labuan yang berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.
Bimbingan dan pantauan khas kepada usahawan ini akan dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah daripada Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan sendiri yang mempunyai kepakaran dan pengalaman mengendalikan projek-projek keusahawanan bersama industri. Pihak UMSKAL juga berterima kasih dengan sumbangan tajaan makanan kepada pelajar asnaf di samping sumbangan bank makanan kepada kolej kediaman UMSKAL. Seramai 400 pelajar asnaf menerima sumbangan tajaan makanan daripada PPZ-MAIWP.
Inisiatif dan usaha yang dilaksanakan oleh pihak PPZ-MAIWP untuk usahawan asnafpreneur dan sumbangan yang diberikan kepada pelajar UMSKAL diharapkan dapat dimanfaatkan dalam jangka masa yang panjang di samping jalinan kerjasama dapat diperkukuhkan lagi antara UMSKAL-FKAL dan PPZ-MAIWP
Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, penganjuran projek ini sedikit sebanyak dapat membantu usahawan asnaf ini melihat lebih jauh potensi perniagaan mereka.
“Ini merupakan peluang terbaik buat usahawan asnaf ini untuk mengembangkan lagi potensi perniagaan mereka sehingga berjaya keluar dari kepompong kemiskinan seterusnya menjadi pembayar zakat,” katanya.
PPZ-MAIWP juga ingin menyeru syarikat korporat agar menunaikan zakat dan menggalakkan kakitangan membuat potongan gaji zakat di PPZ-MAIWP bagi mendapat Skim Wakalah atau dasar pengembalian semula wang zakat. Pengembalian semula wang zakat ini boleh dimanfaatkan semula kepada kakitangan atau mereka yang kurang berkemampuan.
Dalam majlis yang sama turut diadakan Pelancaran Program Jihad Pendidikan @ UMSKAL yang bertujuan untuk memperluas dakwah zakat dalam kalangan pelajar dan pekerja institusi pengajian tinggi.
Melalui program ini juga PPZ-MAIWP melalui dana wakalah menyampaikan sumbangan kewangan kepada pelajar asnaf UMSKAL serta Food Bank UMSKAL dengan jumlah masing-masing RM14,000 dan RM10,000. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan adalah berjumlah RM24,000.
Melalui program ini juga dapat menunjukkan kitaran daripada pembayar zakat kepada pemanafaat zakat yang berhak termasuklah bantuan pendidikan kepada para pelajar universiti.
Menurut Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Jihad Pendidikan merupakan salah satu inisiatif PPZ-MAIWP kepada para pelajar dan pekerja institusi agar lebih memahami kepentingan menunaikan zakat serta usaha bagi mendekati para pelajar asnaf.
Majlis Projek Asnafpreneur dirasmikan oleh Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Ustaz Mohd Zamerey Abdul Razak manakala Jihad Pendidikan dirasmikan oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.
Turut hadir Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal.