Atlet renang daripada pelbagai kategori bersama hadiah yang dimenangi.
LABUAN;Pasukan Kelab Renang Penampang (PPSC) muncul juara keseluruhan Kejohanan Renang kali ke dua anjuran Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) dengan kerjasama Kelab Lions Labuan Mandarin dan Sukan Olimpik Khas Labuan yang diadakan di Kolam Renang LIS, di sini baru baru ini.
Pasukan PPSC mencatatkan mata tertinggi kejohanan sebanyak 1551 mata, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 beserta piala dan sijil.
Naib johan keseluruhan dimenangi oleh pasukan tuan rumah Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) dengan mengumpul 1461 mata menerima hadiah wang tunai RM2,000, piala dan sijil.
Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Kelab Renang Naga Laut yang mengumpul 951 mata untuk menerima hadiah wang tunai RM1000, piala dan sijil.
Kejohanan yang menyaksikan hampir 300 peserta itu melibatkan penyertaan dari Negara Brunei Darussalam, Malaysia serta Akuatik Kementerian Pendidikan Malaysia.
Dalam pada itu pihak penganjur berharap kejohanan tersebut bukan saja mampu melahirkan generasi muda yang sihat tetapi juga memupuk semangat dan setiakawan.
Hadir sama menyaksikan kejohanan itu Pengerusi Labuan FSA, Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin, Penolong Pengarah Unit Sukan (Unit Pembangunan Bakat Murid) Jabatan Pendidikan Labuan, Agku Mohd Fitri Agku Kalong dan Pengetua LIS, Fadlin Aimuni, Presiden Kelab Lions Labuan Mandarin, Alden Wong Ching Ko, Presiden Sukan Olimpik Labuan, Jocelyn Yeo, Pengurus Besar Mariner Hotel Labuan Nelson Chieng dan Pengarah Kelab Lions Labuan, Jessica Lee.



