Oleh: SALWAH ARAMAT
RANAU : Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Perhubungan Daerah (PD) di sini, berjaya merangkul hadiah kategori ‘Daerah Terbaik’ Pelaksanaan Aktiviti peringkat negeri Sabah bagi 2019 sempena Majlis Apresiasi di Dewan Hotel Courtyard 1 Borneo Kota Kinabalu baru-baru ini.
Anugerah telah disampaikan Penolong Setiausaha Kanan (Belia) Kementerian Belia & Sukan Negeri Sabah, Dg. Mas Safiah Binti Haji Ag. Mahali mewakili Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, dan turut dihadiri Pengerusi PPIM Negeri Sabah, Datin Hajah Hasnah Binti Mohd. Yakob, Wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang juga Ketua Penolong pengarah Pengurusan Bakat Murid, Cik Kasmani Binti haji kumit dan Presiden Majlis Belia dan Sukan (MBS), Ahmad Farid Bin Sainuri.

Turut menerima Anugerah ialah Kota Kinabalu (Daerah Terbaik kategori Penilaian Murid), Papar (Daerah Terbaik Kategori Pendaftaran Keahlian PPIM). Majlis yang gilang-gemilang itu, pada sebelah siangnya diadakan program Muzakarah seluruh Jawatankuasa PPIM daerah untuk perkasakan program PPIM pada tahun 2020.
Dg. Mas Safiah dalam ucapannya merakam penghargaan dan syabas kepada Jawatankuasa pelaksana program aspresiasi tersebut yang bertujuan memberi penghargaan kepada PPIM daerah-daerah yang telah menjayakan dam memperkasakan PPIM Malaysia diperingkat daerah masing-masing melalui pendaftaran keahlian, Penerapan Ahli serta pelaksanaan yang telah dirancang rapi bertemakan ‘Berilmu, Beriman, Beramal’.
“Syabas dan tahniah kepada PPIM daerah-daerah terlibat atas segala usaha yang telah dijalankan dan diharapkan penghargaan yang diterima itu akan dapat memberi motivasi untuk lebih cemerlang pada masa hadapan.
“Saya ingin menyarankan kepda PPIM negeri Sabah untuk terus memperbanyakkan program yang dapat memberi manfaat kepada ahli-ahlinya malah golongan belia dalam bandar dan luar bandar”, jelasnya.

Menurutnya, pelaksanaan program yang kreatif serta berada diluar kotak pemikiran pasti akan dapat menarik minat golongan belia khususnya para pelajar untuk menyertai PPIM.
“Pun begitu katanya, keghairahan untuk melaksanakan program harus menitikberatkan nilai-nilai murni agar generasi hari ini menjadi generasi yang berkualiti, selain perlu sentiasa cakna terhadap perubahan-perubahan dasar yang berkaitan dengan kebeliaan seperti penurunan had umur dan keremajaan kepimpinan.
Justeru katanya, setiap program yang hendak dilaksanakan haruslah mempunyai impak yang menjadikan PPIM kekal relevan sepanjang zaman selaras dengan kemasukan ahli PPIM melibatkan murid seawall Tahun 3 Sekolah Rendah yang memanfaatkan sepenuhnya bagi melahirkan ahli punya daya kepimpinan mapan serta mampu berdaya saing dengan belia-belia diperingkat global.- T A M A T-