Ikhsan membeli halia di pondok tanpa penjaga berdekatan Kg.Timbua, Ranau.
PONDOK jualan buah-buahan dan sayur-sayuran milik penduduk kampung disekitar laluan menuju ke Kg .Timbua hingga ke Kg.Kaingaraan di daerah ini agak unik kerana memerlukan pelanggan yang bersikap jujur dan ikhlas ketika membeli barangan yang dijual.
Tinjauan media disalah satu pondok jualan berdekatan Kg.Timbua mendapati, pondok itu tidak ada penjaga seperti mana pondok-pondok jualan lain yang terdapat di pekan atau bandar sebaliknya hanya diletakkan sebuah peti kayu berkunci untuk dimasukkan duit bayaran jika pelanggan membeli barangan yang dijual.
Seorang pelanggan dikenali sebagai Ikhsan Firdaus yang ditemui ketika singgah membeli halia berkata, hanya sifat jujur pelanggan dapat membantu penduduk kampung yang meletakkan jualan di pondok-pondok itu memperolehi pendapatan.
Katanya, amalan berjualan seumpama itu telah lama dilakukan penduduk kampung dan pelanggan yang datang perlu bersikap jujur dengan membayar setiap produk yang dibeli dan memasukkan wang di dalam peti tersedia.
“Janganlah ambil kesempatan dan tidak jujur kerana produk jualan penduduk seperti cili padi, lada putih dan halia atau buah-buahan sangat berkualiti dan harganya juga murah. Bayangkan jika hanya diambil begitu sahaja tanpa membayarnya, kita perlu ada perasaan bertimbang rasa”. Jelasnya yang berasal dari negeri Selangor tetapi telah berkhidmat hampir enam tahun di daerah Ranau.
Seorang lagi pelanggan hanya dikenali sebagai Jack yang kebetulan singgah membeli cili padi berkata, beliau sering membeli di pondok-pondok jualan itu jika berkesempatan kerana produk yang dijual amat murah dan masih segar.
Katanya, sebungkus halia hanya dijual sekitar RM 5.00 dan jika bernasib baik, pelanggan boleh membeli buah-buahan segar yang dikeluarkan dari ladang penduduk kampung seperti buah naga, pisang ataupun durian.
“Memang pondok jualan ini tiada penjaga tetapi sesiapa sahaja singgah membeli disini perlu menanam sikap jujur dan ikhlas. Janganlah mengambil kesempatan dan tidak membayar jualan yang diambil. Kita sama-sama memahami perasaan pemilik jualan tersebut”. Katanya.
Jack yang juga merupakan seorang kakitangan kerajaan berkata, pondok jualan tanpa penjaga itu mempunyai nilai signifikan kepada sifat seseorang untuk sentiasa bersikap jujur, tidak mencuri dan bertimbang rasa.
Dalam pada itu, Ketua Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (Star), Kong Soon Choi ketika ditemui turut mencadangkan agar pihak berkenaan mencari inisiatif untuk menaiktaraf pondok-pondok jualan tersebut bagi memberi keselesaan, keceriaan dan menarik lebih ramai pelanggan yang boleh menaikkan pendapatan penduduk kampung.
Jelasnya, keaslian pondok jualan itu perlu dikekalkan tetapi perlu dinaiktaraf untuk menarik ramai pelanggan singgah membelibproduk yang dijual.
“Pihak berwajib perlu melakukan sesuatu untuk menaiktaraf pondok-pondok jualan itu untuk membantu penduduk kampung memasarkan produk-produk tanaman mereka dengan lebih banyak lagi. Saya juga akan membawa cadangan ini kepada jabatan berkenaan”. Katanya.