Keadaan pondok doa yang dirosakkan individu tidak dikenali
PENAMPANG: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian khianat yang membabitkan sebuah pondok doa di kawasan Sinundu Miracle Hill, Kampung Duvanson, Putatan, selepas premis itu ditemukan dalam keadaan berselerak dengan beberapa barangan di dalamnya dipercayai dirosakkan individu tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 13 Julai lalu dan siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda serta Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan atau merosakkan tempat ibadat atau objek suci dengan niat menghina agama.
“Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 295 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat, ketenteraman awam dan sensitiviti agama.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan ketenteraman awam.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-636 5734 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.



