Ganja yang dirampas
PENAMPANG: Polis menahan dua individu tempatan serta merampas hampir 300 gram dadah disyaki ganja dalam dua operasi berasingan yang dijalankan di sekitar Putatan dan Lok Kawi pada 4 Jun lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang DSP Erwansyah Abdul Basir berkata kejayaan itu hasil operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah berkenaan.
Beliau berkata dalam operasi pertama di tepi jalan di Putatan, sepasukan pegawai dan anggota BSJN menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun selepas pemeriksaan menemukan lima paket plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 22.85 gram.
“Siasatan lanjut susulan tangkapan itu membawa kepada serbuan kedua di sebuah kawasan di Lok Kawi yang menyaksikan penahanan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun.
“Hasil pemeriksaan di lokasi berkenaan menemukan 16 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 271.81 gram,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pembungkusan dan pengedaran dadah.
Katanya, jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua operasi itu adalah 294.66 gram ganja dengan nilai anggaran RM2,950.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, suspek lelaki dalam tangkapan pertama turut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak melebihi sembilan kali, jika sabit kesalahan.
Erwansyah berkata Polis Daerah Penampang akan terus mempergiat usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Beliau turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada pihak polis bagi membantu usaha memerangi jenayah berkenaan.



