30.8 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Polis tahan dua individu, rampas dadah bernilai RM12,000 di Kundasang.

RAMPASAN…Sarjan Nizam bersama sejumlah dadah jenis syabu yang berjaya dirampas

RANAU: Polis daerah ini berjaya menahan dua individu dan merampas dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM12,000.00 dalam serbuan di Kundasang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Sammy Newton, berkata tangkapan dan rampasan dadah itu adalah hasil maklumat yang diterima.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau telah membuat serbuan lebih kurang jam 5.40 petang di sebuah bilik penginapan di kawasan Kundasang.

“Hasil serbuan, polis telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan disyaki terlibat dengan kegiatan dadah. Turut ditemui sejumlah 127.432 gram dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran harga semasa RM12,000.OO yang disembunyikan dalam kereta suspek,” katanya kepada media, hari ini.

DSP Sammy Newton… Ketua Polis Ranau

Menurut Sammy, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sekiranya disabit dengan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali sebatan.

Dalam pada itu, Sammy berkata, polis Ranau memandang serius berkenaan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah dan akan mempergiatkan operasi bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berkaitan dadah berlaku di daerah ini.

“Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjadikan dadah sebagai sumber pendapatan dan pengunaannya juga adalah dilarang. Sekiranya ditangkap tindakan tegas akan diambil ke atas mereka kerana polis tidak akan berkompromi dengan sesiapa saja yang tidak mematuhi undang-undang berkaitan dadah yang sedia ada.

“Polis Ranau turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang telah tampil menyalurkan maklumat berkaitan dadah ini. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan dadah boleh menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak IPD Ranau,” tambahnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN