RANAU:Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, merekodkan sejumlah 193 tangkapan sepanjang tahun 2020 melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 199 kertas siasatan dibuka dengan 74 peratus daripadanya telah dijatuhkan hukuman di mahkamah.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden, Simiun Lomudin, berkata setakat September 2021, seramai 163 orang pesalah telah ditangkap dengan kebanyakan kes masih di peringkat perbicaraan.
Katanya melihat situasi semasa, pada tahun ini seramai 13 orang telah ditangkap bagi siasatan di bawah kategori bekalan dadah manakala seramai 43 orang telah ditangkap bagi siasatan di bawah kategori memiliki dadah dan Akta Racun 1952.
“Bagi kategori penagih pula, sejumlah 120 orang telah ditangkap kerana kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan. bagi pesalah berulang pula, seramai 8 orang telah dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jumlah operasi turut dipergiatkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Ranau pada tahun ini,” katanya dalam Sidang Media di IPD Ranau, hari ini.
RAMPASAN…Daun ketum yang belum diproses
Menurut Simiun, dalam tempoh sehingga bulan September, sejumlah 284 gram dadah jenis Syabu telah berjaya dirampas berbanding jumlah rampasan pada tahun lalu iaitu sebanyak 70 gram.
Pada masa yang sama katanya, jumlah rampasan di bawah Akta Racun 1952 juga meningkat iaitu sebanyak 245 kilogram daun ketum berbanding 10 kilogram dirampas pada tahun lepas. Manakala sepanjang tahun 2021, sejumlah 61 liter air ketum turut dirampas.
Selain itu katanya, polis daerah ini turut merampas sejumlah 298 gram ganja pada awal tahun ini di Kundasang.
“Melihat kepada peningkatan kejayaan tangkapan dan rampasan, BSJN IPD Ranau telah berjaya menyekat aktiviti pengedaran dan penagihan dadah daripada terus berleluasa di dalam daerah ini.
“Sehubungan itu, polis khususnya IPD Ranau ingin menegaskan bahawa sebarang aktiviti berkaitan penyalahgunaan dadah dan ketum merupakan satu kesalahan di sisi undang – undang.
“Penglibatan masyarakat daerah ini dalam menjadi mata dan telinga pihak polis adalah sangat dihargai dan mengalu – alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk bersama – sama membanteras kegiatan ini demi kesejahteraan daerah Ranau,” ujar beliau.