25 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 24, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Polis Ranau bongkar kegiatan pengiriman daun ketum melalui pos laju

Pihak polis membuat pemeriksaan kandungan kotak kiriman yang dirampas dan menemui sejumlah daun ketum segar.

RANAU: Pihak polis berjaya membongkar kegiatan pengiriman daun ketum melalui perkhidmatan pos laju dengan tertangkapnya seorang suspek lelaki tempatan berusia 22 tahun pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, berdasarkan maklumat risikan, pihaknya telah mengesan beberapa tempahan kotak yang berisi daun ketum segar disalah sebuah permis pengiriman barang.

“Tempahan daun ketum itu dibuat daripada individu tempatan dari sekitar daerah ini. Kiriman dialamatkan menggunakan nama samaran daripada negeri Perak. Apabila sampai ke sini, pemilik akan menggunakan khidmat penghantar barang untuk mengambil bungkusan kotak yang dikirim sebelum dihantar kepada pemilik asal”. Tegasnya.

DSP Simiun Lomudin, Ketua Polis Ranau

DSP Simiun turut menjelaskan, suspek ditangkap bersama empat kotak barangan kiriman yang berisi daun ketum segar dianggarkan seberat 15.2 kilogram pada 01 Mac di kawasan lapang Perhentian Teksi Pekan Ranau sekitar jam 9.30 malam.

Katanya, sebelum tangkapan dijalankan, sepasukan Pegawai dan Anggota polis dari Unit Cawangan Khas telah membuat intipan awal pergerakan suspek yang sedang menunggu kedatangan penghantar barang (Runner) untuk mengambil kirimannya.

“Siasatan awal mendapati, suspek membuat pembelian daun ketum secara online melalui facebook yang dikirim menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran dari negeri Perak”. Katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Kotak kiriman dipercayai berisi daun ketum segar yang dirampas dan menggunakan perkhidmatan penghantar barang (Runner).

Dalam pada itu, Simiun turut menegaskan bahawa pengambilan cecair ketum merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Racun 1952 dan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Justeru, beliau mengingatkan agar mana-mana individu yang sering membuat tempahan daun ketum segar menggunakan perkhidmatan pos segera berhenti daripada tindakan itu bagi mengelak sebarang tindakan perundangan.

“Pihak polis akan terus memperhebatkan operasi menangkap mana-mana penagih atau pengedar cecair ketum di daerah ini bagi mengelak masalah sosial terus berleluasa. Anda kena tahu bahawa pengambilan cecair ketum boleh memudaratkan kesihatan dan salah di sisi undang-undang”. Katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada pengusaha penghantar barang (Runner) agar lebih berwaspada menerima pelanggan bagi mengelak menjadi mangsa keadaan apabila mengangkut barangan menyalahi undang-undang.

Kes disiasat dibawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 manakala suspek telah tawarkan jaminan polis selepas keterangan direkod untuk melengkapkan kertas siasatan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN