30 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Polis Leichester buru lelaki tikam budak 10 tahun

LEICHESTER – Pihak polis Leichester, United Kingdom memburu seorang lelaki bersenjatakan pisau yang menikam seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di hadapan ibunya.

Murid itu diserang hanya beberapa meter dari sebuah nurseri di Belper Street dalam kejadian pada jam 5.20 petang waktu tempatan, Sabtu lalu, lapor Daily Star yang memetik sumber.

Jurucakap polis Leicestershire, Inspektor Tim Lindley berkata, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun bersama ibunya didekati suspek sebelum menikam mangsa.

Menurutnya, penyerang digambarkan sebagai seorang lelaki Asia berkulit cerah yang berusia pertengahan 20-an, berketinggian 5 kaki 10 inci, berbadan gempal dan memakai jaket berwarna coklat.

“Lelaki berkenaan kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dan dalam kejadian itu, ibu mangsa tidak mengalami apa apa kecederaan.

“Orang awam membuat panggilan kecemasan dan kanak-kanak itu dibawa ke Pusat Perubatan Queen di Nottingham dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Dalam pada itu Lindley berkata, kejadian itu merupakan satu tindakan keganasan terhadap kanak-kanak kecil yang hanya berjalan-jalan bersama ibunya dan tidak melakukan kesalahan terhadap suspek.

“Kami akan mencari individu yang bertanggungjawab menikam kanak-kanak itu sehingga jumpa dan akan dikenakan hukuman setimpal atas tindakan yang dilakukan oleh suspek.

“Jika sesiapa ada maklumat atau ada melihat suspek ketika kejadian sekitar jam 4.30 petang sehingga 6.30 petang atau mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau dashcam diminta menghubungi pihak polis,” katanya.-Sumber Sinar Harian-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN