ADVERTISEMENTspot_img

60 murid prasekolah SK Kiawayan sertai lawatan sambil belajar ke Tenom

Guru, ibu bapa dan murid prasekolah SK Kiawayan merakamkan gambar kenangan ketika lawatan ke Taman Pertanian Sabah di Lagud Seberang, Tenom.

TENOM: Seramai 60 murid prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Kiawayan bersama ibu bapa menyertai lawatan sambil belajar ke beberapa lokasi menarik di daerah ini hari ini bagi memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai persekitaran luar bilik darjah.

Program itu bukan sahaja menjadi pengalaman pertama bagi kebanyakan murid berkenaan, malah bertujuan memperluas pengetahuan, merangsang rasa ingin tahu serta memberi peluang kepada mereka mengenali tempat-tempat menarik dan berinformasi melalui pembelajaran secara langsung.

Antara lokasi yang dikunjungi ialah Taman Pertanian Sabah di Lagud Seberang, Young Farmstay Tenom dan kilang kopi terkenal Yit Foh Tenom.

Guru Prasekolah SK Kiawayan Roselinda Kassim berkata kejayaan program itu tidak akan tercapai tanpa sokongan dan kerjasama erat pihak pengurusan sekolah, barisan guru serta ibu bapa.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Guru Besar dan semua guru SK Kiawayan atas komitmen dalam menjayakan program berkenaan, selain memuji penglibatan aktif ibu bapa yang turut bersama-sama memastikan kelancaran lawatan.

“Melihat kerjasama yang begitu baik, saya amat terharu dengan hubungan erat yang terjalin antara ibu bapa, anak-anak dan guru.

“Penghargaan juga diberikan kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan bagi menampung keperluan sepanjang program ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Prasekolah Bassie Fong berkata program seumpama itu amat bermanfaat dalam membina keyakinan diri serta membuka minda kanak-kanak untuk mengenali dunia luar sejak peringkat awal persekolahan.

Beliau berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang lawatan itu dapat membantu murid menghargai ilmu pengetahuan, di samping meningkatkan pemahaman mereka terhadap persekitaran dan perkara baharu yang diterokai.

Turut menyertai lawatan itu ialah guru pengiring Caroline Maurice dan Maria Jibit.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN