oleh: JD
LABUAN: Polis di sini menahan 4 lelaki (tempatan) selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mencari ketam dan melepak di rumah kawan tidak jauh dari tempat tinggal mereka di Kampung Bebuloh.
Ketua Polis Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kesemua mereka yang berumur 20 an itu ditangkap kira-kira jam 1.20 pagi pada Ahad di kawasan Kampung Bebuloh.
“Kesemua lelaki itu ditangkap selepas mengaku baru sahaja pulang dari rumah kawan di Taman Kianyap. Sebelum itu mereka mengaku telah keluar dari rumah kira-kira jam 6 petang untuk mencari ketam tidak jauh dari kampung mereka.
![](http://borneobuletin.com/wp-content/uploads/2020/03/Ditangkap.jpg)
“Setelah selesai mencari ketam, kira-kira jam 10.30 malam, mereka seterusnya pergi pula kerumah kawan mereka dengan menaiki tiga buah motosikal untuk melepak dan pulang semula kerumah di Kampung Bebuloh kira-kira jam 1.20 pagi sebelum terserempak dengan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan PKP di kawasan tersebut” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Muhamad Farid berkata, kesemua suspek telah ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Labuan untuk siasatan lajut dan tahanan reman.
Jelas Muhamad Farid, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 3(2) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan)2020.
“Jika sabit kesalahan kesemua mereka boleh dihukum dan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali” katanya.
Muhamad Farid berkata, sebelum ini pada 26 Mac kira-kira jam 10.20 malam pihaknya juga telah menangkap dua lelaki tempatan di kawasan Ujung Pasir kerana didapati ingkar PKP. –TAMAT–