Polis Labuan sita 16 motosikal dalam Op Samseng Jalanan.
DISITA… Ahmad (kiri) bersama Rechi menunjukkan beberapa motosikal yang disita atas pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan pada Sabtu
Oleh: JAINUDIN DJIMIN
LABUAN : Polis di sini mengeluarkan sebanyak 55 saman dan menyita 16 buah motosikal atas pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan di Jalan Tun Mustapha, dekat sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Ahmad Jawila berkata dalam operasi itu sebanyak 20 buah motosikal telah diperiksa membabitkan 21 individu.
“Daripada jumlah itu 16 buah motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan antaranya pengubahsuaian ekzos, memasang aksesori yang tidak sempurna, tidak mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada lesen dan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan dan sebagainya” katanya kepada media di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, dalam operasi itu, pihak polis juga telah menahan dua penunggang motosikal masing-masing atas kesalahan menunggang motosikal dalam keadaan membahaya iaitu melakukan aksi ‘Wheelie’ dan seorang lagi atas kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran yang tidak sah.
“Kedua-dua lelaki yang berumur 20an itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana kelakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di Jalan Pulau Buah.
“Manakala kes kedua disiasat mengikut Seksyen 108 (3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran yang tidak sah” katanya.
Op Samseng Jalanan yang bermula kira-kira jam 6.30 petang pada Sabtu itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) melibatkan 16 anggota yang diketuai oleh Ketua BSPT, ASP Rechi John Chuhing.
Dalam pada itu Ahmad menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan operasi sedemikan dari masa ke semasa bagi mengekalkan keamanan dan menjaga kesejahteraan masyarakat khususnya pengguna jalan raya.
“Pihak polis sebelum ini telah menerima pelbagai runggutan dan aduan daripada masyarakat yang telah menerima gangguan yang dilakukan oleh segelintir penunggang motosikal yang tidak bertanggungjawab.
“Antara aduan yang diterima ialah gangguan bunyi bising ekzos motosikal yang telah diubah suai dan aktiviti mat rempit yang sering dilakukan di beberapa jalan raya di sekitar pulau ini” katanya.