29 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 22, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Polis Labuan gesa isi borang balik kampung :Elak kes kecurian

Mohd Hamizi menyerahkan borang balik kampung dan risalah VSP kepada orang ramai yang balik bercuti di Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan.

LABUAN: Orang ramai yang ingin pulang ke kampung atau bercuti bagi menyambut Krismas dan cuti sekolah hujung tahun diingatkan untuk mengisi borang balik kampung bagi memudahkan polis membuat pemantauan di kawasan kediaman mereka.

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Mohd Hamizi Halim berkata dengan mengisi borang terbabit, ia membantu polis melakukan kekerapan rondaan di kawasan perumahan mereka.

Selain itu katanya, pihak polis juga menyediakan perkhidmatan balik kampung secara atas talian melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi memudahkan pihak polis mengumpul maklumat dan membuat rondaan.

“Saya nasihatkan kepada masyarakat yang ingin pulang ke kampung memaklumkan kepada balai polis berdekatan dengan mengisi borang balik kampung atau mengunakan perkhidmatan VSP bagi membolehkan pihak polis membuat rondaan 24 jam di sekitar kawasan terbabit sekaligus mengelakkan apa apa kegiatan kes jenayah terutamanya kes kecurian dan pecah rumah” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa Program Walkabout bersama masyarskat yang diadakan di Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan (TFAL) , pada Selasa.

Beliau berkata hasil daripada usaha pihaknya melaksanakan perkhidmatan isi borang termasuk perkhidmatan VSP telah terbukti tiada kejadian pecah rumah berlaku terhadap individu yang memaklumkan pergerakan semasa pulang bercuti.

Pada majlis itu Mohd Hamizi yang turut diiringi oleh anggota dari pelbagai jabatan termasuk pasukan Amanita IPD Labuan menyerahkan risalah dan borang pemakluman balik kampung kepada orang ramai di sekitar Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah wilayah Persekutuan Labuan, DSP Robin@ Ridzuan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif LDA Labuan (Holding) Sdn. Bhd. Noor Halim Datuk Zaini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN