INSENTIF…Arifin menyampaikan insentif Pelajar Cemerlang STPM Anak-Anak Brunei sumbangan Yayasan Dangsanak Brunei.
OLEH: MOHD AMIN HJ MUIN
MEMBAKUT : Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) akan terus memperkasakan usaha untuk meningkatkan ekonomi dan pendidikan masyarakat Brunei di negeri ini.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, persatun itu juga akan turut melestarikan seni budaya etnik Brunei di negeri ini.
Beliau berkata ketua-ketua cawangan dan ahli-ahli PMBS hendaklah merebut pelbagai inisiatif ekonomi dan pendidikan yang disediakan oleh kerjaan negeri dan persekutuan.
Mohd Arifin yang juga Presiden PMBS berkata dalam bidang pendidikan contohnya Kerajaan Negeri menyediakan 13 inisiatif untuk memastikan golongan pelajar di negeri ini mendapat pendidikan secukupnya.
“Pelbagai inisiatif disediakan oleh kerajaan untuk pendidikan rakyat negeri ini dan mereka hendaklah merebut peluang yang bertujuan untuk memastikan tidak ada pelajar yang akan tercicir mendapat pendidikan ke peringkat lebih tinggi,”katanya.

RASMIKAN…Mohd Arifin ketika merasmikan Pesta Ambuyat Sabah 2025 di Dewan Seri Wawasan Kg Pimping Membakut- Foto AJM
Mohd Arifin berkata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor telah meningkatkan peruntukan biasiswa tahun ini dari RM50 juta tahun lalu kepada RM120 juta tahun ini.
Untuk melestarikan budaya etnik Brunei, beliau berkata antara inisiatif dijalankan oleh PMBS termasuklah usaha memperkenalkan makanan tradisi seperti ambuyat dan kuih-muih supaya dapat diwarisi oleh generasi muda.
Katanya, ini sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi usahawan kecil dalam kalangan etnik Brunei.
“Bukan saja dari sudut makanan ambuyat tetapi dari sudut kuih-muih juga kita perkenalkan supaya mereka dekat dengan nilai-nilai tradisi.
“Ini kerana kita berpendapat bahawa makanan-makanan ini juga boleh menjadi sumber ekonomi untuk masyarakat kita,” katanya semasa berucap merasmikan Pesta Ambuyat Sabah 2025 di Dewan Seri Wawasan Kg Pimping Membakut kelmarin.
Mohd Arifin berkata, PMBS akan membuat beberapa siri pengenalan termasuk kursus untuk memperkenalkan makanan tradisi Brunei termasuk kuih-muih.

TAHNIAH …Toh Puan Faridah menyampaikan hadiah wang tunai RM1,500 kepada Juara Pertandingan Hidangan Set Ambuyat, KRT Weston Mewakili PMBS Weston.
“Ada juga yang kita boleh bantu usahawan-usahawan kecil dari masyarakat kita untuk melangsungkan kehidupan dan mencari rezeki melalui keupayaan mereka membuat atau menyediakan bahan atau makanan tradisi ini,” jelas Mohd Arifin.
Menurutnya, sebagai Presiden PMBS, beliau juga mahu masyarakat Brunei bijak menambah variasi serta inovasi dalam setiap hidangan ambuyat supaya dapat menarik minat serta selera generasi muda.
“ Ambuyat dan hidangan-hidangan yang berteraskan masyarakat kita walaupun sebenarnya ambuyat ini adalah milik semua suku tetapi kita perlu pelbagaikan produk dari bahan sagu ini,” katanya.
“Sebahagian besar suku di etnik di Sabah ini memang sangat minat dalam menikmati ambuyat,” katanya.
Menurutnya, masyarakat Brunei juga tidak terkecuali dan kita tambah variasinya dengan pelbagai menu hidangan, cecah dan sebagainya.

LAWAT GERAI…Toh Puan Faridah melawat salah sebuah gerai yang mebgambil bahagian dalam Pertandingan Hidangan Set Ambuyat.
“Kita akan teruskan program ini setiap tahun dan kita akan pilih beberapa tempat untuk mengembangkan program festival ambuyat.
“Kita menggalakkan golongan muda khususnya golongan pelajar agar menguasai persembahan tarian etnik terbabit agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Turut hadir pada Pesta tersebut ialah Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri yang juga Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Datuk Hj Ruslan Muharam, Timbalan Presiden PMBS, Datuk Hj Pengiran Saifuddin Pg Tahir, Pengerusi Penganjur yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dangsanak Sabah (YDS), Datuk Haji Sapdin Ibrahim, Naib- Naib Presiden, Ahli Jawatankuasa Pusat PMBS, Konsul Brunei Darussalam di Sabah, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan dan ribuan masyarakat Brunei serta kaum lain dari seluruh Sabah dan daerah berdekatan.
Pelbagai acara diadakan dalam Pesta Ambuyat Sabah 2025 itu termasuklah Pertandingan Hidangan Set Ambuyat, Pertandingan Zapin Brunei, Penyampian Insentif kepada 100 orang pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM 2025.
Sementara itu orang ramai juga berpeluang membeli produk-produk masyarakat Brunei tempatan dan dari negara Brunei Darussalam di majlis itu.



