30 C
Kota Kinabalu
Rabu, Disember 4, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PLASTIK DAN ANCAMANNYA KEPADA KEHIDUPAN MANUSIA

Gambar – PROF. MADYA DR. MOHD SANI SARJADITimbalan Pengarah IPusat Pengurusan Penyelidikan UMSUniversiti Malaysia Sabah,Kota Kinabalu, SABAH.

SEJAK wabak COVID-19 melanda dunia banyak kebiasaan baharu yang diperkenalkan terutamanya dalam konteks IOT dan dunia pendigitalan.

Aktiviti pembelian barang keperluan melalui atas talian naik mendadak. Malangnya, penggunaan bahan pembungkusan menggunakan plastik semakin menjadi-jadi. Yakni, sebagai pelapis bahan mudah pecah atau pembungkus utama yang menjadi pilihan utama kebanyakan syarikat perkhidmatan penghantaran barang.

Antara tahun 1950 dan 2018, pengeluaran plastik global telah meningkat dari 1.7 hingga 360 juta tan disebabkan permintaan yang tinggi. Di antara keistimewaannya adalah ia mudah dibentuk, sangat fleksibel, pelbagai rupa dan kebolehgunaan yang pelbagai.

Hakikatnya, hanya 9% daripada 9 juta tan sisa plastik dalam dunia boleh diguna untuk tujuan kitar semula. Selebihnya berkemungkinan menjadi sampah pencemar kehidupan sejagat bagi tempoh masa yang lama.

Kajian mendapati ada banyak pendekatan telah diketengahkan untuk proses pengurusan sisa pepejal di peringkat global. Ini termasuklah kaedah kitar semula, pengkomposan, pembakaran insinerator, tapak pelupusan, tapak pelupusan sisa terkawal, tapak pelupusan sanitari dan lambakan terbuka.

Sekiranya sisa buangan plastik dihantar ke tapak pelupusan, dibakar atau disalahuruskan ia akan mempunyai kesan negatif terhadap kelestarian alam sekitar, kesejahteraan  masyarakat dan kedudukan ekonomi secara umumnya.

Antara pencemaran yang terhasil termasuklah bahan toksik yang dibebaskan sewaktu pembakaran, proses penguraian yang panjang dan juga bentuk penguraian mikro dan nanoplastik. Semuanya mengakibatkan ganguan kelestarian sejagat dan penggunaan kos pengurusan yang mahal.

Orang ramai mungkin tidak menyedari bahawa semasa aktiviti pembakaran dilakukan, plastik yang terbakar akan melepaskan asap beracun serta jelaga hitam dan abu yang dapat bertindak balas dengan tanah. Seterusnya, sisa tersebut apabila bercampur dengan air akan melarutlesap dalam tanah akan diserap semula oleh tumbuh-tumbuhan. Bahan kimia toksik ini dibimbangi akan mencemarkan tanaman sumber makanan seperti sayuran dan buah-buahan.

Plastik dibuat dari bahan bakar fosil, dan sisa plastik yang dibuang di tapak pelupusan akan terurai oleh mikrob. Ini menghasilkan gas rumah hijau seperti karbon dioksida dan metana, yang mencemarkan udara dan memerangkap haba, menyumbang secara langsung kepada perubahan iklim. Akibatnya kita semua akan menerima keadaan panas terik yang melampau dan menyebabkan stok haba.

Plastik adalah gabungan monomer yang membentuk polimer bersama bahan tambahan lain seperti phthalates, bahan tahan api, plastikizers, bahan anti-oksidan, pewarna dan anti-mikrob untuk menghasilkan plastik yang mempunyai ciri-ciri fizikal dan kimia yang baik. Beberapa bahan tambahan yang digunakan adalah sangat beracun.

Teknologi bagi proses pempolimeran ini boleh menghasilkan dua jenis plastik iaitu termoplastik dan termoset. Termoplastik adalah plastik yang boleh dicairkan dan dibentuk semula, dan biasanya inilah jenis plastik untuk proses kitar semula. Sebaliknya jenis thermoset, plastik ini tidak dapat dipanaskan semula.

Istilah plastik sekali guna adalah merujuk kepada mana-mana bahan berunsurkan plastik yang biasanya digunakan sekali sebelum dibuang dalam kehidupan seharian kita. Contoh-contoh plastik sekali guna adalah beg plastik, cawan dan pinggan plastik, sudu dan garfu plastik, straw, stick pengacau air, botol minuman plastik, pengorek telinga dan pembungkus makanan.

Sisa barangan plastik sekali guna yang tidak terurus berpotensi untuk terhimpun di lautan. Akhirnya, lautan sering bertindak sebagai wadah akhir untuk sisa plastik sekali guna ini. Sisa plastik dalam lautan ini bertahan selama beberapa dekad hingga berabad-abad. Keadaan ini turut mengancam populasi hidupan laut. Telah banyak kali dilaporkan media massa tentang penemuan sisa plastik di dalam isi perut ikan. 

Masalah utama penggunaan plastik ialah mengambil masa antara 400 hingga 1000 tahun untuk terurai. Oleh itu, ia membawa kesan tidak baik kepada persekitaran. Misalnya, beg plastik yang dibuang merata-rata boleh menyekat aliran air longkang atau sungai dan membawa kepada masalah lain seperti bencana banjir.

Aliran air yang tersekat juga boleh menjadi kawasan “menternak” nyamuk dan haiwan perosak lain. Keadaan yang kotor sebegini akan menjejaskan kebersihan dan boleh menyebabkan pelbagai penyakit. Dan seperti yang dinyatakan tadi,  beg plastik yang dibuang merata-rata akhirnya akan terkumpul di lautan dan membunuh hidupan akuatik.

Semua sedia maklum bahawa buangan plastik pembungkus adalah bahan pencemaran sampah yang paling mudah. Selain plastik pembungkus, ada banyak lagi bahan plastik sekali guna yang meluas di Malaysia.

Dapatan dalam jurnal berwasit bertajuk Science iaitu penyelidikan pencemaran pada tahun 2015 menyatakan bahawa Malaysia berada dalam tangga kelapan sebagai negara yang mempunyai sampah plastik di laut dibandingakan dengan 192 negara pesisir yang lain. Seterusnya dianggarkan juga 13% sampah sisa pepejal yang dihasilkan keseluruhannya adalah sisa bungan plastik dan 40% daripada 0.94 juta tan sisa plastik terbuang adalah berada di lautan.

Banyak inisiatif dan strategi yang telah disusun untuk menangani masalah dan kesedaran mengelakkan penggunaan plastik sekali guna ini.

Antara enam pendekatan yang cuba diketengahkan adalah pertamanya kerjasama bersama di antara kerajaan pusat, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO), pihak industri, pembekal dan masyarakat setempat. Semuanya perlu bersatu padu untuk meminimumkan penggunaan plastik sekali guna ini.

Kedua, pihak pengguna adalah entiti terakhir yang bertanggungjawab dalam tindakan proaktif untuk tidak menggunakan lagi barang barang berunsurkan plastik sekali guna. Bahan-bahan alternatif seharusnya digunapakai dengan lebih kreatif dan berfikiran terbuka.

Ketiga, kempen pembangunan kelestarian dalam konteks yang menyeluruh yang melibatkan ekonomi, teknologi, persekitaran, dan pembangunan sosial. Perlu diadakan aktiviti-aktiviti yang cakna dengan kesedaran plastik sekali guna ini. Pendidikan seawal di peringkat sekolah perlu diperkemaskan. Semua iklan-iklan di media massa juga dijadikan sebagai platform terbaik untuk menyemarakkan kesedaran ini.

Keempat, prinsip berjaga-jaga dan ilmu pengetahuan berkaitan plastik terus disebarluaskan. Plastik memberi impak secara terus kepada alam sekitar biodiversiti dan kesihatan manusia sekiranya disalahgunakan. Sepertimana yang telah dijelas berkaitan kesan pencemaran, stok haba dan kecacatan hidupan laut.

Kelima, penyertaan daripada semua pihak terutama stakeholder secara terbuka dan telus. Contohnya, kempen-kempen seperti hari tanpa plastik. Ia bukannya mengambil kesempatan dengan menjual pastik dalam konteks mengaut keuntungan.

Dan keenam, dokumen berkaitan yang selaras dengan perkembangan semasa dan terkini. Setiap pengenalan bahan baharu sebagai alternatif bagi plastik sekali guna, dikaji secara terperinci. Contohnya penggunaan penyedut minuman menggunakan buluh atau besi, dikongsikan kebaikan dan keburukannya secara umum.

Walaupun masyarakat dunia sedang mengalami kepesatan pembangunan, namun kelestarian alam sekitar ini perlu dikekalkan untuk keseimbangan dan kesejahteraan bersama. Sehubungan itu, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dan sama-sama berganding bahu meminimumkan penggunaan plastik sekali guna ini dengan serius bagi menjamin  persekitaran yang lebih mampan dan lestari.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN