SERAH…. simsudin menyerahkan Data PRU ke 15 bagi P166 Labuan kepada Dr. Sangkar.
LABUAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Wilayah Persekutuan Labuan akan meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 bagi merebut kerusi Parlimen 166 Labuan.
Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR yang baharu dilantik, Simsudin Sidek berkata, Cabang PKR Labuan telahpun siap sedia untuk meletakkan calon bagi merebut kerusi Parlimen Labuan pada PRU ke 15.
“Insyallah kita akan bertanding… kita akan letakkan calon yang boleh memenangi hati rakyat Labuan dan kita yakin PKR Labuan kali ini berpotensi untuk menyumbang satu kerusi Parlimen pada PRU ke 15 nanti.” katanya.
Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Labuan berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Jelajah Pengerusi MPN Negeri bersama Datuk Dr Sangkar Rasam di salah sebuah hotel di sini, pada Sabtu.
Terdahulu pada majlis itu, Simsudin telah mengumumkan barisan kepimpinan PKR Sabah yang baharu melibatkan 13 jawatan tertinggi disandang muka baharu.

KEPIMPINAN BAHARU… Dr Sangkar (tengah) bersama kepimpinan baharu MPN yang hadir pada majlis tersebut.
Beliau menjelaskan, Pengerusi PKR Sabah yang baharu ialah Datuk Dr Sangkar Rasam yang juga Ketua Cabang PKR Keningau menggantikan Datuk Christina Liew.
Pelantikan Dr Sangkar kataya, dibuat pada mesyuarat yang diadakan pada 6 Ogos lalu yang dihadiri Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Cristina Liew yang sebelum ini Pengerusi PKR Sabah kekal sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk mengetuai jentera pilihan raya PH Sabah pada PRU Ke 15” katanya.
Sementara itu, Ketua Cabang Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah di pilih sebagai Timbalan Pengerusi PKR Sabah, manakala ADUN Inanam yang juga Ketua Cabang Sepanggar, Peto Galim sebagi Naib Pengerusi 1.
Naib Pengerusi 2 dan 3 masing masing terdiri Joseph Alex Chang (Ketua Cabang Penampang) dan Romansa Lamin (Ketua Cabang Silam).
Dalam pada itu, Ketua Wanita PKR Labuan, Noriha Yakub di beri kepercayaan untuk mengetuai kepimpinan Wanita PKR Sabah dan Datin Rufina Pangeran sebagai Timbalan Ketua Wanita.
Turut mendapat muka baharu ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Zaidi Jatil dan Timbalannya, Remysta Jimmy Tailor, manakala Raymond Ahuar dilantik sebagai Bendahari dan Sahrudin A Harol, Setiausaha Penyelaras.



