JUADAH BERBUKA di lokasi SJR Jalan Entabuan,
TENOM: Setiap kali tibanya bulan Ramadan, berbuka puasa di rumah bersama seisi keluarga adalah momen yang indah dan sentiasa dinanti-nantikan setiap tahun.
Namun berbeza bagi anggota keselamatan yang bertugas termasuklah mereka menjaga Sekatan Jalan Raya (SJR) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam bulan Ramadan.
Mereka bukan sahaja berdepan cabaran menjalani ibadah berpuasa ketika bertugas, malah untuk duduk semeja sambil menikmati juadah bersungkai bersama ibu bapa, isteri atau suami dan anak-anak terpaksa dilupakan.

Bagaimanapun pengorbanan mereka sebagai sebahagian petugas hadapan ketika mendepani pandemik Covid19 tidak dilupakan malah dihargai dan sentiasa diingati.
Menyedari hakikat itu, para Petugas Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah ini diketuai Pegawai Daerah Tenom, Sungkim Rumangun telah mengadakan Program Berbuka Puasa bersama anggota keselamatan yang sedang bertugas SJR di Jalan Entabuan, kemarin.
Program yang hanya dihadiri beberapa petugas KOB di lokasi SJR itu turut mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) termasuk amalan penjarakan sosial.
Menurut Sungkim yang juga Pengerusi PKOB Tenom, program tersebut bertujuan memberi sokongan moral kepada anggota keselamatan yang sedang bertugas dalam SJR sepanjang Ramadan terdiri PDRM dan RELA.
“Program seumpama ini memberi peluang kepada PKOB berbuka puasa bersama para petugas SJR dalam suasana santai dan harmoni di lokasi.
“Selain itu, secara tidak langsung ianya dapat meningkatkan semangat kerjasama dalam usaha memutus rantaian wabak covid 19 khususnya di daerah Tenom,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin hari ini.
Petugas KOB yang turut hadir, Pegawai Penerangan Daerah, Sahiman Rahman dan Penolong Pegawai Daerah, Martinus Lunggeh. TAMAT