Para peserta yang terlibat memperagakan pakaian Baju Corak Etnik Dusun Ranau merakam gambar kenangan bersama Kareen (duduk empat dari Kiri).
RANAU: Usaha dan inisiatif Persatuan Kebudayaan Etnik Dusun Ranau (PKEDR) menganjurkan Pelancaran Baju Corak Etnik Dusun daerah itu di Pentas Budaya, di sini pada Ahad merupakan suatu yang positif dan program murni bagi mengekalkan corak pakaian tradisional sekaligus mempromosi serta memperkenalkan Baju Corak Etnik Dusun kepada masyarakat umum khususnya generasi muda etnik suku kaum Dusun Ranau.
Pengerusinya, Kareen Domi ketika ditemui memberitahu, usaha itu juga difikirkan mampu mengetengahkan Baju Corak Etnik Dusun Ranau agar tidak hilang ditelan arus perdana perkembangan corak-corak pakaian suku kaum lain seluruh dunia yang dihasilkan menerusi tenunan moden menggunakan mesin.
“Baju corak pakaian Etnik Dusun Ranau yang kita tonjolkan ini adalah tulin dan asli tenunan tekun menggunakan tangan dan cetakan”, jelas Kereen ketika ditemui.
Beliau mengharapkan menerusi program itu para pengusaha pakaian Etnik Dusun di Ranau menarik nafas lega kerana usaha-usaha mereka dalam penghasilan pakaian dengan corak etnik Dusun Ranau dapat diketengahkan di mata masyarakat tempatan Sabah dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.
Menurutnya, pelancaran yang julungkali diadakan itu yang bertemakan ‘Kointutunan Tinaru, Lmpuhun Piuludan’ juga dapat memperkenalkan pakaian Corak Etnik Dusun Ranau kepada anak-anak muda suku kaum Dusun di daerah berkenaan supaya ‘Cintakan’ corak pakaian sebenar Etnik Dusun di daerah mereka.
Menurutnya lagi, sebanyak 10 Baju Corak Etnik Dusun Ranau akan diperagakan lebih 30 orang peserta yang terpilih.
Antara Baju Corak Etnik Dusun Ranau yang diperagakan ialah, Sinusuk Soko, Dalai, Linangkit Talantang, Tinutub Poinaru, Worik Aatur Bianing, Tinagas, Tinubau, Tinutub, Binorokilong dan Poinosorut.



