Ewon ketika berucap di Kampung Lasau Minunsud.
KOTA BELUD: Pengundi Kadamaian perlu membuat pilihan bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini, dengan memberikan sokongan padu kepada parti-parti kerajaan negeri sedia ada bagi memastikan kesinambungan pembangunan di negeri ini khususnya Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.
Gabungan parti-parti tempatan yang mewakili kerajaan negeri ialah Warisan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), PKR dan DAP.
Calon UPKO DUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick, berkata sokongan padu itu penting untuk membolehkan semua perancangan projek-projek pembangunan di kawasan Kadamaian dapat dilaksanakan dengan jaya.
Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun ini pelbagai jenis pembangunan bernilai lebih RM18 juta telah dilaksanakan di Kadamaian.
Ewon ketika berucap di Kampung Bokilong.
“Jika rakyat Kadamaian masih mahu saya menjayakan apa yang telah dimulakan dalam tempoh dua tahun ini, saya sentiasa bersedia mengangkat mandat dan amanah baharu tersebut,” katanya pada program santai bersama rakyat di DUN Kadamaian.
Ewon yang juga penyandang DUN Kadamaian berkata, untuk pelaksanaan jalan-jalan luar bandar termasuk di kawasan Kadamaian, beliau telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan, Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN) dan Jabatan Kerja Raya Sabah agar jalan-jalan luar bandar yang perlu dinaiktaraf dapat dimasukkan di bawah RP4 Rancangan Malaysia ke11 (RMK-11) dan RP RMK-12.
“Saya juga telah berusaha membantu penduduk kampung mendapatkan geran tanah melalui Program PANTAS dan menempatkan Penolong Pegawai Pemungut Hasil Tanah (PPHT) di Pejabat Daerah Kota Belud bagi memudahkan urusan berkaitan tanah.
“Begitu juga dengan usaha untuk mengeluarkan beberapa buah kampung kawasan Kadamaian yang termasuk dalam Hutan Simpan. Dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang terakhir sebelum DUN dibubarkan, saya telah mengangkat isu mengenai pewartaan Hutan Simpan Wariu pada tahun 2015 yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu agar ianya dibubar dan dikembalikan kepada penduduk di Mukim Melangkap dan kampung-kampung sekitar,” katanya.
Ewon dan calon Warisan Plus DUN Usukan pada majlis bersama Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, Ketua Menteri Sabah.
Ewon berkata, dari segi keusahawanan desa pula, lima bangunan keusahawanan dibina di kawasan Kadamaian termasuk Bengkel Keusahawanan Desa Pekan Tabinambur yang akan dimulakan dalam masa terdekat.
“Bengkel keusahawanan desa yang telahpun siap di kawasan Kadamaian pada tahun 2018 hingga 2020 di bawah peruntukan KPLB Sabah ialah Bangunan Keusahawanan Desa (Madu Kelulut) Kg.Pinolobuh, BKD Kg Sayap, BKD Kg.Kiau dan BKD (Jahitan Pakaian Tradisional) Kg.Kelawat.
“Saya percaya pengwujudan pusat-pusat keusahawanan desa ini akan merancakkan lagi pembangunan ekonomi di Kadamaian seterusnya meningkatkan sumber pendapatan penduduk setempat,” katanya.