Hajiji (depan, lima dari kiri) menerima cenderamata daripada Ghulam (depan, tiga dari kiri).
KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, peruntukan itu dimanfaatkan bagi menampung pelajar sedia ada serta 2,182 penerima tajaan baharu tahun 2026 di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana.
“Sebanyak lebih RM100 juta diperuntukkan bagi BKNS tahun ini untuk memberi manfaat kepada pelajar yang melanjutkan pengajian, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan pembangunan pendidikan kerana ia merupakan asas penting dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
“Selain itu, beberapa skim biasiswa utama termasuk Biasiswa Anugerah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Biasiswa Perdana, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah serta Biasiswa Program B40 dan Luar Bandar turut ditawarkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37 di sini, pada Khamis.
Menurut Hajiji, Kumpulan Yayasan Sabah turut meningkatkan jumlah penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah daripada 40 kepada 50 orang tahun ini, manakala BKNS menambah 10 penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah menjadikan keseluruhan penerimanya seramai 60 orang.
“Kerajaan negeri turut memperluaskan peluang pendidikan dalam bidang penjagaan kesihatan apabila 30 anak Sabah akan dipilih mengikuti program pembangunan bakat hasil kerjasama Kumpulan Yayasan Sabah, Institut Jantung Negara (IJN) dan IJN University College bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam sektor berkenaan.
“Pelbagai bentuk bantuan pendidikan juga disediakan bagi meringankan beban pelajar dan keluarga, termasuk menerusi Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), bantuan pendidikan MUIS serta pelbagai inisiatif lain yang diperkenalkan melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas),” ujarnya.
Beliau turut menggesa pelajar terus mengekalkan kecemerlangan serta merebut peluang dalam bidang strategik seperti minyak dan gas, tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kecerdasan buatan (AI) yang dijangka menjadi pemacu pembangunan ekonomi Sabah pada masa hadapan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Zainudin Aman./Penerangan–



