ADVERTISEMENTspot_img

RM70.6 Juta Naik Taraf Jalan Lok Kawi-Kinarut Atasi Kesesakan, Tingkat Keselamatan Pengguna

Gimik pecah tanah yang disempurnakan Hajiji (empat dari kanan) diiringi oleh Alexander (tiga dari kiri).

PAPAR : Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut bernilai RM70.6 juta dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keselamatan pengguna.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar kini menjadi antara kawasan yang berkembang pesat dengan pertambahan kawasan perumahan, premis kerajaan, sekolah dan produk pelancongan.

“Perkembangan itu menyebabkan peningkatan jumlah trafik sehingga menimbulkan kesesakan terutama pada waktu puncak, sekali gus menjadi antara keluhan utama pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

“Sebagai kerajaan, kita sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat memandangkan skop projek itu bukan sekadar melibatkan pelebaran jalan, malah turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan pengguna.

“Projek itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur jalan raya di Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut, di WSG Kinarut Show Gallery, pada Selasa.

Hajiji berkata, projek sepanjang 1.3 kilometer itu melibatkan penaiktarafan jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala dan kelulusan projek berkenaan membuktikan suara dan keperluan mobiliti rakyat Sabah sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.

“Antara kemudahan yang disediakan ialah pembinaan jejantas pejalan kaki, laluan berbumbung ke sekolah, hentian bas serta perlindungan motosikal yang akan memberi manfaat kepada murid, pejalan kaki dan pengguna jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh dalam urusan pengambilan tanah dan pengalihan utiliti bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Semua jabatan dan agensi utiliti yang terbabit perlu bertindak pantas menyelesaikan sebarang isu teknikal supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita tidak mahu kerenah birokrasi menjadi penghalang kepada pelaksanaan projek yang amat penting ini. Kerjasama erat antara agensi Persekutuan dan negeri perlu diperkukuhkan bagi memastikan kejayaannya.

“Pembangunan infrastruktur jalan raya yang cekap dan selamat adalah tunjang kepada pertumbuhan sosioekonomi, selain mampu merangsang pelaburan dan sektor pelancongan,” ujarnya.

Beliau yakin projek itu akan mengurangkan masa perjalanan, meningkatkan kesalinghubungan serta merancakkan aktiviti ekonomi di daerah Papar seiring dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, Papar kini menunjukkan perubahan ketara hasil pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan komersial, malah berpotensi menjadi lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak apabila Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya kelak.

Hajiji turut mengumumkan kelulusan Projek Jambatan Papar Ke 2 dan Kerja Kecemasan Penambakan Batu dan Tanah di Sepanjang Tebing Sungai Intake Kogopon serta Kerja-Kerja Perlindungan Tebing Sungai yang dipohon oleh Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali untuk kemudahan dan kepentingan rakyat Papar.

Antara yang turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN