Kerosakan jalan raya yang tular di media sosial didakwa berlaku dikawasan jalan Telupid-Sandakan.
TELUPID: Pihak konsesi perlu lebih komited dalam menjaga kualiti jalan raya dibawah seliaan mereka agar sentiasa terjamin dan selamat untuk pengguna.
Menegaskan perkara itu, Datuk James Ratib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut berkata, kerajaan bukan melepas tangan mengenai isu kerosakan jalan raya di negeri ini malah telah membelanjakan sejumlah peruntukan untuk melantik syarikat konsesi berkaitan bagi menjaga kemudahan dan keselamatan jalan-jalan utama dikesemua daerah.
Katanya, tidak memadai dengan hanya menampal lubang-lubang diatas permukaan jalan raya yang rosak, sebaliknya pihak konsesi dicadangkan mewujudkan kumpulan peronda lebuhraya yang sentiasa berada dilokasi tertentu untuk memantau keadaan jalan raya.
“Jika ada kumpulan peronda lebuhraya dilokasi-lokasi tertentu, mereka boleh memantau mana-mana jalan raya yang mengalami kerosakan dan terus menghubungi bahagian penyelenggaraan mereka untuk segera diperbaiki”. Jelasnya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah menegaskan, kawasan-kawasan jalan raya yang sentiasa terdedah dengan risiko kerosakan teruk seperti dikawasan Pantai Timur Sabah perlu segera diwujudkan kumpulan peronda lebuhraya.
Jelasnya, sekurang-kurangnya pihak konsesi tidak terlalu bergantung kepada skop tugas menampal jalan raya rosak semata-mata tetapi ada inisiatif lain untuk mempastikan keselamatan pengguna terjamin.
“Saya bukannya mencari kesalahan satu-satu pihak. Tetapi cadangan ini untuk memberi pendapat kerana saya sendiri merupakan pengguna rutin jalan raya antara Kota Kinabalu, Ranau dan ke Pantai Timur. Saya melihat dan merasa sendiri keadaan jalan-jalan itu”. Katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya lagi, kejadian yang tular di media sosial membabitkan beberapa kenderaan mengalami pecah tayar akibat kerosakan jalan raya dikawasan Telupid- Sandakan baru-baru ini wajar dijadikan pengajaran.
“Lebih baik ada suatu solusi terbaik agar kejadian seumpama itu tidak kerap berulang. Keadaan cuaca tidak menentu ketika ini amat bahaya jika pemanduan waktu malam dan kawasan itu perlu dibaiki dengan sempurna”. Tegasnya lagi.
Beliau turut menyeru agar pihak konsesi membuat penyelenggaraan lebih teratur dikesemua jalan-jalan utama agar keadaan jalan raya berkenaan lebih kemas dan tidak terlalu banyak tompokan bekas tampalan kerosakan.