PAPAR: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, merayu agar orang ramai tidak meneruskan perhimpunan boikot di hadapan pintu masuk sekolah itu susulan kes melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, PIBG sekolah berkenaan menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Menteri Pendidikan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menolak tindakan boikot sekolah.
“Kami ibu bapa dan guru turut berdukacita atas pemergian Allahyarhamah Zara Qairina serta berharap keadilan dapat ditegakkan. Namun, emosi pelajar lain, khususnya calon peperiksaan SPM dan STPM tahun ini, juga perlu diberi keutamaan,” jelas kenyataan itu.
PIBG berkata, perhimpunan boikot berpotensi menjejaskan ketenteraman serta fokus pembelajaran pelajar di sekolah berkenaan.
“Kami dengan rendah hati memohon semua pihak agar tidak mengadakan perhimpunan di hadapan sekolah ini. Salam takziah dihulurkan kepada keluarga Allahyarhamah,” menurut kenyataan tersebut.



