24 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PIBG SMK Labuan hargai  sumbangan Ismail

CENDERAMATA….Haji Yusuf (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Ismail sambil diperhatikan Cikgu Noritah.


LABUAN – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Labuan mengadakan Majlis Makan Malam sempena pertukaran Pengetua SMK Labuan, Cikgu Ismail Abdullah ke SMK Pantai IBWS yang diadakan di Dewan Sri Tunas, Desa Tunas Hijau, Jalan Sungai Pagar, baru-baru ini.


Majlis Jasamu Dikenang Setulus Budi itu diadakan bagi meraikan perpisahan Ismail yang telah berkhidmat di SMK Labuan selama 10 tahun sejak 2 Februari 2012 hingga 6 Februari 2022.Beliau akan memulakan tugas sebagai Pengetua di SMK Pantai IBWS pada 7 Februari 2022.


Turut hadir Yang Dipertua PIBG, Haji Yusuf Chuchu, Penolong-penolong Kanan, Kitli Beka (Pentadbiran), Jamaliah Razali (HEM), Cheah Teong Aik (Kokurikulum) dan Saminan Haji Sabtu (PK Pusat Tingkatan Enam).


Hadir sama Naib YDP, Nordin Ahmad dan AJK PIBG SMK Labuan.


Dalam ucapannya, Haji Yusuf merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas perkhidmatan yang cemerlang Ismail di SMK Labuan.


Katanya, hasil kepimpinan berkualiti Ismail di samping komitmen padu guru-guru serta kerjasama erat PIBG, SMK Labuan menempa pelbagai kejayaan yang membanggakan dalam bidang akademik dan kokurikulum di peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, kebangsaan dan antarabangsa.

ISMAIL (tiga kiri) dan Haji Yusuf (dua kiri) bersama AJK PIBG SMK Labuan yang menghadiri Majlis Makan Malam PIBG di Desa Tunas Hijau, Jalan Sungai Pagar, baru-baru ini.
 


“Kejayaan SMK Labuan selama 10 tahun itu adalah hasil kepimpinan yang terbaik daripada Cikgu Ismail di samping kerja keras guru-guru, pelajar dan sokongan padu PIBG itu sendiri.


“PIBG hargai khidmat bakti dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,”kata Haji Yusuf lagi.


Dalam ucapan balasnya, Ismail yang ditemani isterinya, Cikgu Noritah @ Noraini Madiana amat berbangga dengan kepimpinan dan kerjasama YDP dan AJK PIBG yang banyak membantu menjayakan pelbagai program untuk pelajar SMK Labuan.


Ismail juga tidak lupa mengucapkan terima kasih atas kehebatan guru-guru yang membantu beliau membawa SMK Labuan ke mercu kejayaan.


“Saya amat terhutang budi kepada guru-guru dan pelajar yang hebat serta kerjasama erat PIBG dan ibu bapa,”katanya.


Pada majlis itu, Ismail menerima cenderamata daripada Haji Yusuf sebagai tanda penghargaan dan kenangan daripada PIBG SMK Labuan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN