Robert (tengah)bersama guru-guru dan jawatankuasa PIBG bergambar bersama ibu bapa yang hadir pada mesyuarat agung PIBG itu.
KENINGAU:Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG)memainkan peranan yang penting dalam pembangunan dan meningkatkan prestasi sesebuah sekolah.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, sesebuah sekolah yang berjaya bergantung kepada kerjasama antara guru-guru dan ahli-ahli PIBG.
Katanya, ini bukan sahaja melibatkan pengetua, guru- guru dan ahli jawatankuasa PIBG sahaja tetapi juga ibu bapa dan semua komuniti
“Ini kerana kecemerlangan anak- anak kita sebenarnya bermula dari rumah” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SK. St. James Apin-Apin ke 76 baru-baru ini.
“Selepas kita dilanda musibah Covid-19, peranan ibu bapa menjadi semakin kritkal. Ramai di antara kita yang berhadapan cabaran ekonomi dan perbelanjaan anak- anak semakin meningkat tetapi anak- anak ini adalah pelaburan kita pada masa hadapan, bukan sahaja untuk keluarga tetapi untuk bangsa dan negara.
Oleh itu, apapun keperluan dan bantuan , sama ada kepakaran atau tenaga sekalipun yang kita boleh beri kepada pihak sekolah sebagai ibu bapa, kita usahakanlah sebab ini semua demi kemajuan dan kemenjadian anak- anak kita” jelas Robert.
Robert yang juga ADUN Bingkor yakin sekolah akan lebih cemerlang jika komuniti khususnya ibu bapa bersama- sama kurangkan rungutan negatif dan bersama-sama cari jalan penyelesaian untuk sebarang isu dihadapi.
Menurut Robert PIBG adalah medium untuk mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dan guru- guru di sekolah.
Katanya, dengan adanya permuafakatan ini, persefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dapat diwujud.



