TERIMA KASIH..Datuk Jonathan (kanan) menerima cenderakenangan disampaikan Ahmad Shahbirin diperhatikan yang lain.
RANAU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) punyai peranan dalam melaksanakan sebarang usaha untuk mempertingkatkan prestasi pendidikan murid-murid di sesesbuah sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Pilihan Khas (JKPK) Malaysia, yang juga Ahli Parlimen P.179 Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, dengan sebab itu kerjasama bersepadu antara guru dan ibu bapa adalah amat penting untuk meletakkan pembelajaran anak-anak pada tahap yang cemerlang.
“Peranan ibu bapa dan guru adalah wajar dipertingkatkan secara positif bagi mencapai kecemerlangan pelajar sekaligus membawa nama baik sesebuah sekolah”,jelas Datuk Jonathan ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PIBG SMK Matupang Jaya di Dewan Baharu Kg.Matupang Ranau baru -baru ini yang dihadiri lebih 100 ibu bapa dan guru..
Menurut Jonathan, tidak ada jalan pintas mencemerlangkan anak-anak dalam bidang pendidikan kecuali usaha gigih dan kerjasama padu serta komitmen tinggi daripada para ibu bapa berganding bahu dengan guru-guru diperingkat sekolah.
“Justeru berilah kerjasama sepenuhnya kepada guru-guru dalam menjayakan apa juga program Kurikulum dan kokurikulum serta meningkatkan sahsiah diri anak-anak agar menjadi anggota masyarakat yang berguna kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara”,tegas Jonathan.
Kepada ibubapa katanya, harus mengelakan daripada mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak bermoral seperti perkataan ‘bodoh’, ‘bongo, ‘palui’, kurang ajar, dan sebagainya kepada anak-anak kerana itu bakal meninggalkan kesan yang negatif dikalangan anak-anak.
“Guru-guru juga hendaklah mengamalkan budaya ‘penyayang’ kepada semua murid diperingkat sekolah tanpa ada perasaan pilih kasih”, jelas Jonathan sambil menceritakan kisah pahit-manis dan pelbagai cabarannya semasa bersekolah suatu ketika dahulu.
Jonathan kemudiannya mengumumkan peruntukan berjumlah RM2 ribu untuk tabung PIBG dan RM1 ribu lagi untuk majlis berbuka puasa PIBG.
Terdahulu Pengetua SMK.Matupang Jaya, Ahmad Shahbirin Bin Subin dalam ucapan aluannya mewakili sekolah serta PIBG merakam penghargaan dan terima kasih atas kehadiran Jonathan seterusnya merasmikan MAT PIBG sekolahnya tahun ini.
Beliau dalam ucapannya juga sempat menyeru ibubapa agar sentiasa memberi kerjasama kepada pihak sekolah menjayakan program-program mencemerlangkan pendidikan anak-anak.
“Saya juga menyeru para ibubapa agar menggalakkan anak-anak untuk memasuki Kolej Vokasional(KV)kerana anak-anak lulusan KV layak dapat Sijil Kemahiran Tahap 3 dan lagu dalam pasaran kerja dan boleh juga menyambung dipetingkat diploma di KV yang sama serta menyambung hingga ke peringkat Ijazah di Universiti Terpilih seperti Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)”,tambah Ahmad Shahbirin.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Perhububgan Parlimen Ranau, Benedict Gunda dan Naib YDP PIBG(baru), Siti Jaleha Binti Jiman.