25 C
Kota Kinabalu
Selasa, November 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pesta Tamu Gadang UMSKAL platform satukan warga kampus dan komuniti

SIMBOLIK…..Prof Ts. Dr. Shamsul Bahari memukul gong sebagai simbolik penutupan Pesta Tamu Gadang UMSKAL 2025.

LABUAN: Pesta Tamu Gadang Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) bukan sahaja meraikan mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian, malah penganjurannya menjadi platform untuk merapatkan warga kampus dengan komuniti setempat.

Pengarah UMSKAL, Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin berkata, Pesta Tamu Gadang merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh universiti.

“Ini kita panggil ‘smart partnership’, iaitu daripada segi perkongsian ilmu, perkembangan pengalaman dan sebagainya memberi ‘real experience’, atau pengalaman nyata, kepada anak-anak mahasiswa.

“Ia juga tidak menjadi sesuatu yang kekok bagi komuniti untuk bersama universiti dalam usaha saling meningkatkan kesejahteraan masyarakat,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau aktiviti Pesta Tamu Gadang, kelmarin.

Tambahnya, penganjuran kali ini melibatkan lebih 2,000 orang pengunjung dari dalam dan luar Labuan.

Sebanyak 19 program dan aktiviti telah disusun sepanjang tiga hari pesta terbabit berlangsung, antaranya forum agama, pertandingan sukan, pertandingan bakat, pameran agensi kerajaan, bengkel, mewarna dan persembahan pentas.

Dalam pada itu, persatuan-persatuan pelajar di kampus turut diberi peluang untuk terlibat dalam aktiviti keusahawanan sekaligus memupuk daya kepimpinan dalam kalangan mahasiswa.

Dianggarkan seramai 200 mahasiswa dari UMSKAL akan menamatkan pengajian tahun ini melibatkan pelajar daripada Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) serta Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL).

Prof Ts. Dr. Shamsul Bahari berkata pengunjung khususnya pelajar dan belia berpeluang mendapatkan ilmu tambahan menerusi ⁠Pameran Kerjaya, ⁠Pameran Asnafprenuer, ⁠Pameran Agensi Kerajaan dan Swasta serta Jom Periksa, Jom Sihat.

Persembahan artis terkenal tanah air iaitu Rahmad Mega dan Tajul serta persembahan tarian Kelab Taming Mas UMSKAL memeriahkan malam penutupan pada Ahad lalu.

“Kehadiran peserta dari luar turut membantu menjana ekonomi dan merancakkan industri pelancongan tempatan,”katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua AJK Penganjur dan urus setia yang komited dan bertungkus lumus menjayakan program tahunan itu.

“Terima kasih juga kepada semua penyumbang, agensi kerajaan dan swasta, NGO serta individu yang turut membantu menjayakan Pesta Tamu Gadang UMSKAL 2025,”katanya.

Pesta Tamu Gadang UMSKAL diadakan sebagai simbolik meraikan graduan UMSKAL yang akan menghadiri Majlis Konvokesyen UMS Ke-27 di Kota Kinabalu pada 28 November hingga 1 Disember 2025.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN