26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Oktober 12, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pesta Kaamatan mengingatkan semua untuk berusaha lebih giat lagi: Hajiji

Dr Jeffrey Kitingan bersama tetamu kehormat mongomot atau menuai padi sebagai gimik pelancaran Pesta Kaamatan 2024 di Dewan Masyarakat Ranau, di Ranau pada Rabu.


RANAU: Sambutan Pesta Kaamatan memberi peringatan kepada semua pihak untuk berusaha dengan lebih giat lagi bagi meningkatkan keberhasilan dan seterusnya memelihara keterjaminan sumber makanan di negeri Sabah.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata, bertemakan ‘Kaamatan Menjangkaui Keterjaminan Makanan’, ia amat bertepatan dengan objektif dan semangat sebenar perayaan Pesta Kaamatan berdasarkan mitos perayaan ini diadakan.


“Perayaan Pesta Kaamatan adalah salah satu acara penting kepada rakyat Sabah kerana ia merupakan satu perayaan yang diraih setiap tahun terutama di kalangan masyarakat KDMR.


“Ia bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama, tetapi sebaliknya juga bagi menyatakan rasa kesyukuran di atas hasil tuaian yang baik.


“Justeru dalam konteks keterjaminan makanan kerajaan negeri menerusi kementerian Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) terus komited dengan usaha meningkatkan tahap sara hidup dan sara diri hasil pertanian terutamanya padi untuk memperkukuhkan keterjaminan makanan di Sabah,” katanya.


Malah, tambah Hajiji, MAFFI juga telah mewujudkan Jawatankuasa pengurusan tertinggi di peringkat kementerian bagi membincangkan dan menangani isu-isu berkaitan keterjaminan makanan.


Katanya, ini kerana negeri Sabah pada masa ini hanya mencapai tahap sara diri sebanyak 20.8 peratus dan selebihnya masih bergantung kepada Bekalan beras dari sumber luar atau diimport.


Tambahnya lagi, keadaan cuaca yang tidak menentu amat memberi kesan terhadap hasil pertanian, justeru kita telah mengambil pelbagai Langkah bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan di negeri ini.


“Oleh itu, pada 17 April baru-baru ini, Kabinet Negeri telah bersetuju menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah sebagai sebahagian daripada Inisiatif pengeluaran serta Keselamatan makanan di negeri ini.


“Ia juga antara usaha kerajaan bagi meningkatkan tahap sara diri, terutama sekali dalam isu beras.
“Langkah itu penting berikutan Sabah terpaksa mengimport kira-kira 70 peratus daripada leperluan beras di negeri ini,” katanya.


Untuk itu, katanya, kabinet negeri telah memohon diperkenankan penubuhan Lembaga ini dan digazetkan berasaskan kepada Seksyen 3 Enakmen Lembaga Hasil Pertanian 1991.


Hajiji berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri MAFFI Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang mewakili beliau merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024 yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau pada hari Rabu.


Bagi menyahut cabaran keterjaminan makanan terutama sekali beras, selain mengwujudan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah, katanya, pemberian insentif pembajakan sawah padi dengan peruntukan sebanyak RM18 juta adalah antara inisiatif lain yang akan dilaksanakan di dalan Bajet 2024.


“Selain itu, pemulihan tanah terbiar, pembangunan padi tanah kering, penambahan bilangan jentera pembajakan penuai, pemberian baja pada kadar optimum serta pemberian subsidi juga adalah antara Langkah-langkah yang akan diambil kerajaan,” kata beliau.


Sementara itu, beliau berharap agar pemain-pemain sektor pertanian, penternakan dan perikanan dapat terus meningkatkan pengeluaran hasil bagi menyediakan bekalan makanan yang mencukupi pada masyarakat dan rakyat Sabah.


Berbalik kepada sambutan Pesta Kaamatan, Hajiji berkata, sebenarnya perayaan ini juga menjadi platform untuk mempromosikan kesepaduan sosial dan membantu membina jambatan persefahaman antara masyarakat etnik yang berbeza.


Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada sambutan dan program kebudayaan serta keagamaan di negeri Sabah.


“Ini kerana kita percaya bahawa program kebudayaan dapat memantapkan lagi perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan memberi peluang untuk kita mengenali, memahami dan menghargai adat dan budaya suku kaum masing-masing.


“Keunikan budaya dari adat resam rakyat berbilang kaum dan budaya khususnya di negeri ini adalah asset yang paling penting bagi kita.


“Dengan keindahan semulajadi yang bertaraf dunia serta keunikan budaya berbilang kaum dan budaya Sabah menjadi destinasi pilihan pelancong dari seluruh dunia,” kata beliau.


Justeru Hajiji menegaskan bahawa sekarang adalah masa untuk semua pihak memperhebatkan lagi industri Pelancongan yang telah terjejas akibat Pandemik Covid 19 selama dua tahun sejak 2020.


“Seperti di Ranau cukup banyak tempat yang menarik seperti Kolam Air Panas Poring Hotspring, Ladang Teh Sabah selain Taman Negara atau Taman Kinabalu,” katanya.


Tambhahnya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha dalam membantu meningkat taraf hidup dan sosio ekonomi masyarakat dan rakyat Sabah
Bagaimanapun, Hajiji memberitahu bahawa masih ada suara-suara segelintir kumpulan yang tidak bertanggungjawab dengan memperlekehkan dan menyalahkan apa jua usaha-usaha murni kerajaan.


Tetapi itu, katanya, hanyalah cakap-cakap kosong kerana mereka pun tidak mempunyai keupayaan dan usaha dalam membantu melainkan hanya memainkan isu-isu politik pecah belah dan politik perkauman.


“Maka itu, saya yakin bahawa rakyat Sabah sekarang lebih matang menilai mana kaca dan mana intan. Jadi janganlah terpengaruh dengan politikus yang hanya pandai menghasut dan merosakkan keharmonian antara kaum.


“Saya ingin menyeru rakyat untuk terus Bersama-sama kami sebagai rakan kongsi dalam usaha membangunkan negeri dan Bersama-sama kerajaan mengekalkan lestabilan politik serta kemajuan ekonomi dengan Kerjasama dan sokongan berterusan demi kelancaran pembangunan di negeri Sabah.


“Syabas dan tahniah penganjur dan penduduk Ranau kerana berjaya menganjurkan majlis sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Ranau 2024 yang amat meriah,” katanya.


Beliau mengambil kesempatan itu mengucapkan Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan dan Selamat Hari Pekerja kepada semua warga pekerja di Sabah.


Turut hadir, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam, Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Adun Paginatan Datuk Abidin Madingkir, Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin, para Pembantu Menteri, Pegawai Daerah Tinus Manggam dan lain-lain.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN