Sebuah pesawat milik kerajaan Afghanistan Ariana Airlines yang membawa 80 penumpang dilaporkan terhempas di wilayah Ghazni.
-Agensi-
SEBUAH pesawat milik kerajaan Afghanistan, yang dipercayai milik Ariana Airlines yang sedang membawa sekurang-kurangnya 80 penumpang dilaporkan terhempas di wilayah Ghazni, kawasan yang dikawal kumpulan Taliban negara itu pada Isnin.
Menurut jurucakap gabenor wilayah itu, Arif Noori: “Pesawat Boeing milik Ariana Airlines terhempas di Sado Khel dalam kawasan Deh Yak di wilayah Ghazni sekitar jam 1.10 petang waktu tempatan pada Isnin.”
Jumlah sebenar kematian akibat nahas pesawat jenis Boeing 737-400 itu belum dapat dipastikan.
Terdapat juga percanggahan maklumat awal di pihak berkuasa tempatan berhubung jumlah penumpang dan destinasi pesawat serta lokasi pesawat malang itu berlepas.
Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Ariana Airlines, Mirwais Mirzakwal menafikan pesawat syarikat penerbangan itu terbabit dalam kemalangan seperti yang didakwa oleh pegawai kerajaan Afganistan itu.
“Terdapat insiden pesawat terhempas tetapi bukan milik syarikat Ariana. Dua pesawat yang dikendalikan oleh kami dari Herat ke Kabul dan Herat ke Delhi (India) telah selamat mendarat,” katanya kepada Reuters.
Sementara itu pihak Taliban berkata pihaknya sedang membuat siasatan lanjut berhubung insiden itu. –Agensi/Awani–



