TERBABAS….Kereta dipandu mangsa terbabas di bahu jalan dekat stesen minyak, Putatan
PUTATAN: Seorang pesara tentera maut dalam kemalangan di Jalan Papar–Kota Kinabalu, berhampiran stesen minyak Putatan di sini pada Isnin.
Dalam kejadian jam 7.53 malam, mangsa, 56, yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, berdasarkan laporan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan mengahala Kota Kinabalu.
Menurutnya, akibat kemalangan tersebut, pemandu, disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas dari Hospital Queen Elizabeth (QEH1).

Sammy Newton
“Manakala seorang penumpang di tempat duduk hadapan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, QEH1 untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pihak polis turut meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.
Susulan kejadian itu, pihak polis turut meminta kerjasama orang ramai untuk tidak menyebarkan gambar di lokasi kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga.