ADVERTISEMENTspot_img

Pesara Guru Labuan santuni anak anak asnaf dan yatim

Dayang (tengah) menyampaikan bantuan duit raya dan bakul makanan kepada pelajar SMK Rancha-Rancha.

LABUAN:Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Daerah Cawangan Labuan (5PM DC Labuan) ringkasnya pesara guru menyantuni anak anak asnaf dan anak yatim untuk menghulurkan bantuan menerusi Program ‘Kami Sayang Kamu’.

Pengerusinya, Dayang Pungut Abdul Jalil berkata walaupun telah lama meninggalkan bilik darjah, ahli-ahli persatuan itu menunjukkan sifat pendidik yang tebal masih mengalir dalam diri mereka melalui keprihatinan yang mendalam terhadap soal kebajikan pelajar dari
golongan yang memerlukan.

“Jiwa kami masih jiwa pendidik dan kami terpanggil untuk ambil peduli khasnya kepada anak-anak asnaf atau yatim ini dalam persediaan mereka menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Bantuan ini diharap dapat menceriakan wajah mereka dan sedikit sebanyak meringankan beban kewangan keluarga dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri nanti,”katanya semasa ditemui media kelmarin.

Jelas beliau, usaha murni yang sudah menjadi acara tahunan itu diharapkan dapat menjadi pencetus semangat kepada anak-anak tersebut untuk terus berjaya sekaligus membuktikan bahawa masyarakat terutamanya golongan pendidik sentiasa berdiri teguh di belakang mereka.

“Pihak kami menyelaraskan bantuan daripada dana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk disampaikan kepada 60 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lajau dan SMK Mutiara.

“Manakala lapan orang pelajar SMK Rancha-Rancha menerima bantuan hasil sumbangan ikhlas para ahli persatuan sendiri dan beberapa penyumbang lain.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Labuan, MAIWP Labuan, para penyumbang individu dan semua ahli 5PM DC W.P Labuan yang telah menjayakan program itu kerana tanpa kerjasama erat daripada semua pihak usaha untuk menceriakan anak-anak asnaf dan yatim ini tidak mungkin dapat direalisasikan dengan begitu bermakna,”tambahnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN