MOHD RAFI ketika menyantuni pesakit terlantar Mulok Mumin di Kampung Layang-Layangan, pada Sabtu.
LABUAN: Pesakit terlantar yang tinggal bersama isteri di sebuah rumah usang di Kampung Layang-Layangan mendapat pembelaan UMNO Bahagian Labuan.
Usaha pembelaan itu terungkai apabila Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan bersama rombongan menyantuni pesakit tersebut, Mulok Momin menerusi Program Peduli Rakyat UMNO Labuan yang diadakan pada Ahad.
Mulok Mumin, 78 yang juga seorang pesara kerajaan sakit terlantar sejak dua tahun lalu yang kini dijaga sepenuhnya oleh isteri dan dibantu oleh anak perempuannya berdepan dengan ketakutan apabila rumah usang mereka tidak selamat untuk didiami.
Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, sebagai salah seorang pemimpin masyarakat tempatan, beliau akan cuba membantu sedaya upaya mengangkat masalah yang dihadapi keluarga Mulok untuk didengari dan dibantu oleh pemimpin negara.
“Saya telah melihat sendiri apa yang dihadapi oleh keluarga Mulok yang sedang sakit terlantar dan tinggal di sebuah rumah terlalu usang yang sudah tidak selamat untuk didiami.
“Justeru itu UMNO Bahagian Labuan berusaha untuk pastikan keluarga Mulok akan dapat sebuah rumah baharu PPRT, kalau pun tidak dapat kita akan usahakan untuk menaik taraf rumah berkenaan bagi memastikan mereka sekeluarga dapat tinggal dengan selamat tanpa merasa takut-takut” katanya ketika ditemui selepas menyantuni pesakit tersebut.
Sementara itu Mohd Rafi yakin permohonan untuk membantu keluarga Mulok mendapatkan sebuah rumah baharu akan dapat diluluskan oleh pihak kerajaan sepertimana lima permohonan rumah baharu PPRT yang diusahakan oleh UMNO Bahagian sebelum ini telahpun diluluskan dan kini dalam proses pembinaan.
Katanya, UMNO Bahagian Labuan akan terus melakukan pembelaan kepada rakyat khususnya kepada golongan yang memerlukan pembelaan termasuk mereka yang kurang bernasib baik.
Turut bersama dalam program itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Khalid Abd. Ghani, Ketua Wanita UMNO Bahagian, Hajah Niswati Tarji, Ketua Puteri UMNO Bahagian, Normiyati Jumat, Bendahari UMNO Bahagian, Musa Basman dan Ketua UMNO Cawangan Layang-Layangan, Faizal Lakat.
2. KEADAAN rumah keluarga Mulok Mumin yang sudah tidak selamat untuk didiami.