OLEH SALWAH ARAMAT
Editor: ADUKA JASNIN SUMAN
Admin: Johnny Gampawi.
KOTA MARUDU : Peruntukan berjumlah RM326 juta yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada Pembentangan Bajet 2020 baru-baru ini, membukti keseriusan Kerajaan Pusat membantu membangunkan negeri Sabah.
Ketua Pentadbir Wilayah Tandek, Kota Marudu, yang juga Pengerusi Pertubuhan Momogun Society (NWC) Sabah, Nurjaffar Inggis (gambar) berkata, peruntukan yang lebih besar itu berbanding Sarawak dan negeri lain di Semenanjung Malaysia memperlihatkan kesungguhan kerajaan Persekutuan untuk membantu membangunkan negeri Sabah agar setaraf dengan kemajuan pembangunan di Semanjung dan Sarawak.
“Ini membuktikan, kerajaan persekutuan begitu prihatin dan bertanggungjawab bagi memastikan Sabah terutama kawasan Pedalaman dapat membangun dan maju seperti negeri lain di Malaysia.
“Saya mewakili rakyat Sabah khususnya penduduk Kota Marudu berterima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr.Mahathir Bin Mohammad kerana begitu terbuka melihat dan mendengar keperluan mendesak bagi pembangunan luar Bandar di Sabah”, jelas Nurjafar.
Menurutnya, masih banyak kampung di kawasan pedalaman di Sabah amat memerlukan kemudahan seperti jalan raya dan jambatan yang baik untuk kegunaan penduduk setempat setiap hari.
“Peruntukan yang begitu besar daripada kerajaan persekutuan akan digunakan untuk pembangunan seperti pembinaan, penyelanggaran jalan raya dan pembinaan jambatan serta penyelanggaraan infrastruktur setiap daerah di Sabah dengan memberi keutamaan kawasan pedalam seperti Kg.Magandai, Kg.Tongod dan Kg.Gana Kota Marudu yang masih dahagakan pembangunan”, jelasnya kepada Borneo Buletin kemarin.
Beliau menyifatkan peruntukan RM326 juta daripada kerajaan persekutuan itu, dapat membantu mengurangkan beban peruntukan kewangan yang ditanggung oleh kerajaan Warisan Sabah (Warisan) bagi tujuan pembangunan negeri dalam jangka masa panjang.
