JAMES…Peruntukan ini jelas membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat
KOTA KINABALU: Jumlah peruntukan sebanyak RM162.42 juta kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) bagi tahun 2025 jelas membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan Negeri kepada rakyat.
Menteri KPMKR Datuk James Ratib berkata belanjawan yang telah diumumkan sesungguhnya adalah komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri memperkasa kesejahteraan dan kebajikan setiap lapisan masyarakat secara inklusif dan holistik.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM11.91 juta dikhaskan untuk tujuan pembangunan, manakala RM150.51 juta adalah untuk tujuan perbekalan.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, di atas pembentangan Belanjawan 2025 “Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera” pada 15 November 2024 yang lepas.
“Peruntukan ini jelas membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat di dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan juga Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Beliau yakin dengan sokongan dan kerjasama semua, KPMKR akan dapat menyumbang dengan lebih efektif lagi kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.
James yang juga Adun Sugut berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan beliau semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-16, 18, 19 dan 20 November 2024 yang berlangsung pada hari Selasa.
Dalam ucapannya, beliau memberitahu bahawa pada tahun 2025, KPMKR melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) akan meneruskan Program Homeward bagi menyantuni rakyat yang sakit terlantar, warga emas dan OKU.
Program ini, katanya, telah membantu seramai 5,689 pesakit di seluruh Negeri Sabah sejak ianya mula diperkenalkan pada tahun 2021 sehingga kini.
Pada tahun 2025 juga, katanya, Program Kecemerlangan Pendidikan Pelajar (Pro-KePP), satu (1) program baharu akan diperkenalkan oleh JPKA untuk membantu anak-anak penerima bantuan yang cemerlang dalam pendidikan.
“Program ini akan dilancarkan pada penghujung tahun depan melibatkan seramai 104 orang anak-anak penerima bantuan,” katanya.
James berterima kasih atas kelulusan peruntukan bagi Program Intervensi Kanak-Kanak Autisme yang akan dilaksanakan di Taman Didikan Kanak-Kanak di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta pada tahun hadapan.
Beliau turut memberitahu bahawa KPMKR melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) juga akan meneruskan program-program memperkasakan peranan dan penglibatan wanita dalam arus pembangunan.
“Pada tahun 2025, dua program baharu berimpak tinggi akan dilaksanakan iaitu Persidangan Wanita Sejahtera Sabah (PWS) dan juga Karnival Kesejahteraan WANITA BESTARI (WA-BEST).
“JHEWA juga telah menerima tambahan peruntukan RM1.5 juta bagi meneruskan dan memperkasakan lagi program kolaborasi dan pembangunan NGO Wanita mulai tahun 2025,” katanya.
Berhubung dengan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), katanya, bagi tahun 2024, sebanyak 66 program kesedaran untuk pelajar dan masyarakat telah dilaksanakan oleh PEMADAM dengan jumlah penyertaan seramai 18,184 orang.
Walau bagaimanapun, ujar beliau, melihat kepada perkembangan dan data masakini, pada tahun 2025 Kementerian merancang untuk mengkaji semula program yang telah dilaksanakan bagi memastikan ianya benar-benar relevan dan memberi impak yang dihasratkan.
Beliau menambah, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) akan meneruskan pelaksanaan Program Penjagaan dan Pemerkasaan Orang Kurang Upaya, Program Penuaan Sejahtera, Program Sosial Kanak-Kanak dan Program Kesedaran Kesihatan.
“MPMS sentiasa bekerjasama dengan NGO-NGO untuk memberi sokongan dan pengetahuan kepada ibubapa, keluarga serta masyarakat melalui Bengkel Pengendalian Kanak-Kanak Berkeperluan Khas dan yang mempunyai autisme.
“Pada tahun ini, melalui gabungan NGO dan Jabatan/Agensi Kerajaan, satu persidangan Special Education and Intervention Conference in Sabah bertemakan “Every Child Matters – Prioritzing Education, Skills, Health and Safety for Children With Special Needs” telah diadakan.
“Ia bertujuan untuk menghimpunkan tenaga pengajar, profesional, penjaga dan ibu bapa untuk bertukar-tukar pandangan, pengajaran, pembelajaran dan pendekatan inovatif ke arah meningkatkan pendidikan khas dan intervensi bagi individu yang mempunyai pelbagai keperluan pembelajaran,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan meneruskan program-program yang memberi bantuan dan sokongan kepada kanak-kanak dan individu autisme dan berkeperluan khas.
“Selain itu, MPMS turut bekerjasama dengan NGO-NGO seperti Cheshire Sabah, CHILD Sabah, Pusat Seri Mengasih dan Persatuan Autisme Sabah untuk menyediakan latihan kemahiran dan program bengkel perlindungan untuk orang dewasa yang menghidap autism,” katanya.
Dalam hal lain, menyedari akan keadaan dan keperluan kritikal perkhidmatan kesihatan, James memberitahu bahawa KPMKR melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) komited untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan termasuk tahap fasiliti di negeri ini.
Sehubungan itu, katanya bagi tahun 2025 JKNS fokus kepada pelaksanaan perkara-perkara seperti perkhidmatan dan pengoperasian Bangunan Blok Klinikal Baharu di Hospital Tawau.
Selain itu, fokus juga diberikan kepada Kerja Awalan Pusat Jantung Sabah; Kerja Awalan Naiktaraf Hospital Kota Marudu; Kerja Awalan Naiktaraf Hospital Duchess of Kent Sandakan; Kerja Awalan Naiktaraf Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah; Kerja Awalan Naiktaraf Hospital Queen Elizabeth; Kelulusan Projek Darah Wilayah Sabah; dan Kelulusan Naiktaraf Dewan Bedah Kedua Tuaran.
“Menaiktaraf fasiliti lain dan pembinaan fasiliti baharu juga telah dirancang dan akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.
Sementara itu, James turut menyentuh tentang kos sara hidup yang meningkat di mana ia berkait rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).
”KPMKR mendengar dan faham akan keluhan tentang kos sara hidup yang meningkat. Kementerian saya melalui KPDN merancang dan melaksanakan pemantauan dan kutipan harga secara harian, mingguan dan bulanan.
“Pegawai Pemantau Harga KPDN sentiasa menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN agar para peniaga beretika dalam berurusniaga dan melindungi hak-hak pengguna.
“Bukan itu sahaja. Pada tahun 2025, Program Jualan Rahmah akan dilaksanakan dua kali setiap bulan di setiap kawasan DUN. Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) juga akan terus dilaksanakan pada setiap perayaan,” katanya.
Dalam hal lain, James berkata, pada tahun 2025 Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah akan membina Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Lelaki/Wanita dan Pusat Tahanan Reman (PTR) Tawau Baru dengan kapasiti 300 klien iaitu 250 lelaki dan 50 wanita
Berkenaan pembinaan Klinik Desa Kawasan Kg Lihak-Lihak, Semporna, katanya JKNS telahpun merancang untuk membina Klinik Kesihatan (KK) Jenis 5 di bawah RMKe-13, di mana tapak klinik berkenaan seluas 9 ekar telahpun dikenalpasti dan permohonan tanah sedang dalam proses.
Berkenaan KK Sungai Tamang di Pulau Sebatik, katanya, ia merupakan KK terdekat bagi penduduk Kg Serudong Laut yang hanya boleh diakses menggunakan pengangkutan laut.
“Klinik ini beroperasi setiap hari dengan kehadiran dua orang Pembantu Pegawai Perubatan dan dua orang Jururawat.
“Walau bagaimanapun, KK ini telah roboh pada tahun 2012 memandangkan bangunan telah usang dan isu mendapan tanah.
“Buat masa ini, klinik ini beroperasi di bangunan Pejabat UPPM sebagai penyelesaian jangka pendek sementara menunggu pembinaan KK Sebatik baharu yang telah diluluskan di bawah RMKe-11,” katanya.
Sebagai tambahan, ujar James, panggilan kecemasan pada waktu malam akan dikendalikan oleh Pasukan Petugas atas panggilan.
“Lawatan Pegawai Perubatan dua kali sebulan dan Pakar Perubatan Keluarga sekali sebulan juga dilaksanakan bagi menangani kes-kes lebih kompleks.
“Pihak JKNS telah merancang untuk menyediakan operasi Klinik Bergerak bagi membolehkan penduduk di kawasan ini turut menikmati perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Sementara itu, James memberitahu bahawa Kementerian beliau melalui JPKA Sabah sedar akan kepentingan intervensi awal dan pendidikan untuk kanak-kanak autisme.
Oleh yang demikian, JPKA dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan mewujudkan Program Pra-Sekolah Autisme di Institusi Kebajikan Negeri bermula pada tahun 2025.
Tambahnya, JKNS sentiasa memantau masa menunggu di Jabatan Kecemasan serta Jabatan Pesakit Luar hospital.
“Inisiatif-inisiatif seperti klinik rawatan “extended hours” dan klinik rawatan pesakit selepas waktu pejabat telahpun dilaksanakan untuk mengurangkan masa menunggu rawatan, terutamanya semasa waktu luar pejabat.
“Bagi Klinik Kesihatan Awam pula, JKNS juga telah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan masa menunggu di klinik kesihatan seperti Pengurusan Sistem Temujanji dengan menggunakan aplikasi MySejahtera.
“Selain itu Pengelasan Temujanji iaitu tetapan khusus untuk perkhidmatan seperti pemeriksaan kesihatan rutin dan rawatan penyakit kronik; Pemantapan Pengurusan Kaunter Pendaftaran dengan pengasingan kaunter; Penggunaan Sumber Tenaga Kerja yang Maksimum; dan Penambahbaikan Proses Kerja iaitu Sistem Triage yang Cekap, turut dilaksanakan,” kata beliau.
James menambah, terdapat empat unit hemodialisis dan dua orang kakitangan yang bertugas di Unit Hemodialisis Klinik Kesihatan Tungku.
Pada masa ini, katanya, unit tersebut beroperasi dalam satu syif dari 7.00 pagi hingga 2.00 petang memberikan rawatan kepada lapan orang pesakit.
“Bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan, penyelarasan penempatan kakitangan perlu dilaksanakan bagi mendapatkan tambahan empat orang kakitangan yang akan dilatih untuk mengendalikan rawatan,” katanya.
Dalam hal lain, katanya Kementerian beliau sedang meneliti dan akan menyediakan cadangan bantuan yang berkaitan dengan perkhidmatan kesihatan, seperti rawatan dialisis, kepada Kabinet Negeri Sabah.
Perkara ini, katnaya, adalah penting dan perlu diteliti lebih lanjut lagi bagi manfaat yang menyeluruh dan berpanjangan khususnya kepada pesakit buah pinggang dan umumnya kepada semua pesakit yang menerima rawatan di fasiliti kerajaan di negeri Sabah.