25 C
Kota Kinabalu
Sabtu, September 30, 2023
ADVERTISEMENTspot_img

“Pertanian Adalah Perniagaan”, kata Rowelon Juil

Rowelon menunjukkan hasil tanaman buah Rockmelon dikebunnya.

RANAU: ‘Pertanian Adalah Perniagaan’, ayat keramat inilah yang menyuntik semangat seorang anak muda Rowelon Juil, 36 tahun, yang gigih mengusahakan tanaman buah ‘Rockmelon’ dikebun miliknya di Kg. Lohan, Ranau.

Ketika ditemui, Rowelon menjelaskan, beliau tidak memiliki sebarang bimbingan secara spesifik untuk memulakan penanaman buah Rockmelon sebaliknya hanya berpandukan rujukan internet bagi mempelajari teknik penanaman yang betul.

‘’Saya hanya berpandukan kepada maklumat yang saya google di internet. Benih buah ini juga saya perolehi dari internet dan membelinya menerusi tempahan dari Semenanjung’’. Jelasnya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Tanaman Rockmelon menggunakan teknik fetigasi daripada hempas sabut kelapa.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai penanaman buah itu, beliau berkata pokok Rockmelon mengambil masa tiga bulan untuk matang dan mengeluarkan buah yang masak. Selepas buah dituai, pokok tidak boleh lagi digunakan sebaliknya perlu dicabut dan digantikan dengan tanaman baru. Penanaman pokok Rockmelon juga menggunakan teknik fetigasi daripada hempas sabut kelapa yang dikenali sebagai ‘Cocopeat’ dan perlu diletakkan dibawah atap plastik UV.

Mengenai pasaran pula, katanya sebiji buah Rockmelon boleh mencecah sehingga RM 18.00 sekilogram mengikut saiz dan gred. Tetapi jika terdapat pemborong yang datang sendiri membeli terus dari ladangnya, harga lebih murah ditawarkan. Setakat ini, tuaian buah pertama yang dibuat beliau sekitar bulan Jun ini sudah berjaya mengeluarkan hasil sehingga 600 kilogram.

‘’Mujur kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah untuk perkhidmatan perlu (Essential Service) dalam tempoh PKP ini. Maka dapatlah beberapa pemborong dari Kota Kinabalu datang ke kebun saya untuk membeli. Tetapi kebanyakan pasaran saya untuk permulaan ini hanya sekitar daerah Ranau sahaja’’. Katanya yang juga mengusahakan tanaman Lada Bara dan Tomato sebagai sampingan sementara menunggu pokok Rockmelon mengeluarkan buah yang matang.

Setakat ini, Rowelon memiliki enam khemah yang ditanam dengan pokok Rockmelon ditanah seluas lebih kurang dua ekar. Kos penanaman termasuk pembelian baja dan peralatan lain dianggarkan sebanyak RM 10,000 tidak termasuk gaji pekerja.

Sebahagian tanaman lada bara di kebun Rowelon untuk mendapatkan pendapatan sampingan sebelum buah Rockmelon masak.

Pemuda berbangsa Dusun ini yang tidak lokek dengan perkongsian ilmu pertanian turut menjelaskan, beliau telah mengalami kegagalan untuk menghasilkan tanaman Rockmelon sebanyak tiga kali dan hampir berputus asa sebelum ini. Namun berbekalkan kesabaran dan semangat yang tinggi untuk mencari nafkah hidup, beliau mempelajari teknik penanaman dengan menjalankan kajian sendiri menerusi internet. Melalui itu, akhirnya beliau berjaya dan kini masih belum berpuas hati untuk terus belajar dan mendapatkan pelbagai lagi ilmu tentang teknik penanaman yang sistematik.

‘’Pada awalnya, saya tidak tahu bagaimana untuk menguji kepekatan alkali baja kerana baja yang saya gunakan berbentuk cecair. Apabila saya merujuk berulang kali di internet, rupanya terdapat satu alat khas untuk mengukur kepekatan alkali baja tersebut’’. Jelas Rowelon sambil tersenyum mengimbas kembali kegagalan beliau sebelum ini.

Sebelum menutup bicara, satu pesanan manis buat seluruh belia dan anak muda yang berminat dengan pertanian, Rowelon berkata ‘’Jangan malu menjual buah di pasar walaupun banyak persaingan, tidak semua orang muda boleh melakukan pekerjaan itu ketika ini’’.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN