Gambar baris kedua: Jaminus (6 dari kiri) sementara baris ketiga (2 dari kiri) ialah Nur Anis
RANAU: Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum Dan Kesenian), Pejabat Pendidikan Daerah Ranau akan menganjurkan Pertandingan Nyanyian Solo dan Duet atau dikenali Festival Rancak Seni Kategori Sekolah Rendah, Peringkat Daerah pada 2 September ini bertempat di Dewan Sekolah Kebangsaan St. Benedict.
Keputusan dicapai melalui satu mesyuarat khas Google Meet (GM) yang dipengerusikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum Dan Kesenian), Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Jaminus Agang.
Dalam mesyuarat yang turut dihadiri Penyelaras Teknik Rancak Seni Daerah, Nur Anisa Natasha @Agnes Petronella Pirron bersama semua Penyelaras Teknik Rancak Seni Zon dan Semua Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Rendah bersetuju untuk mengutip yuran penyertaan setiap zon sebanyak seratus ringgit bagi menampung kos program tersebut.
Ketika dihubungi media Borneo Daily Bulletin, Jaminus berkata semua ahli mesyuarat bersetuju untuk mengadakan pertandingan secara terbuka pada tahun ini.
“Disebabkan pandemik dua tahun lalu, pertandingan peringkat daerah ketika itu hanya dapat dilangsungkan secara online melalui rakaman video oleh wakil setiap zon yang diadali melalui sistem juri bagi memilih wakil daerah ke peringkat negeri. Pada tahun ini atas permintaan ahli mesyuarat, pertandingan kembali secara bersemuka agar peserta lebih berkeyakinan mempersembahkan bakat masing-masing,” jelas Jaminus.
Jaminus berharap pihak Penyelaras Teknik Daerah dapat membentuk segera Ahli Jawatankuasa Rancak Seni Daerah Kategori Sekolah Rendah sebagai persiapan dan bagi melancarkan perjalanan majlis.
Dalam pada itu, Penyelaras Teknik Rancak Seni Daerah, Nur Anisa mengingatkan, tarikh penghantaran lagu (minus one) dan 8 salinan lirik mengikut kategori hendaklah dihantar kepadanya pada atau sebelum 1 September untuk tujuan penyusunan lagu. Giliran peserta nyanyian akan dilakukan melalui cabutan undi pada awal masa pendaftaran, 2 September. Sementara penghantaran borang dan yuran penyertaan akan dimaklumkan kemudian melalui ‘group whatssap’ Penolong Kanan Kokurikulum.