KOTA KINABALU -Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah menyambut baik keputusan kerajaan menyambung pemberian subsidi dan kawalan harga ayam dan telur di negara ini.
Presidennya, David Chan berkata, pengumuman itu memberi kelegaan kepada pengguna dan peniaga ekoran masalah bekalan dan harga pasaran yang masih tidak menentu terhadap kedua-dua barangan berkenaan.
Menurut beliau, persatuan merakam terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas keprihatinan mengenai isu bekalan berkenaan dalam kalangan rakyat.
“Kita menyambut baik dan amat berterima kasih di atas pemberian subsidi berkenaan yang disambung bermula 1 Julai ini. Subsidi itu amat penting memandangkan harga ayam dan telur masa kini masih tidak menentu.
“Kita bimbang harga itu akan terus meningkatkan dalam keadaan nilai ringgit yang masih lemah selain kebergantungan kepada makanan ayam dari luar negara,” katanya.
David berkata, rakyat hari ini khususnya golongan B40 masih bergantung kepada sumber telur dan ayam sebagai makanan harian dan pastinya akan membebankan mereka jika harganya diapung kepada pasaran bebas.
Katanya, selain itu, para peniaga yang berkaitan dengan produk ayam dan telur juga bakal terbeban untuk beroperasi melainkan terpaksa menaikkan harga jualan mereka sekali gus menjejaskan jualan.
“Hari ini sumber telur dan ayam amat rapat dengan kehidupan kita, dan kita bimbang jika tidak dikawal harganya akan menyebabkan banyak pihak terjejas.
“Kita masih berdepan dengan pelbagai isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup, harapannya ialah dengan usaha kerajaan itu sedikit sebanyak dapat membantu rakyat menjalani hidupan harian,” tambah beliau.
David dalam pada itu meminta agensi berkaitan agar melaksanakan segera usaha menambah bekalan telur dan ayam di negara ini melalui pelbagai perancangan jangka pendek dan jangka panjang.
Katanya, syarikat-syarikat tempatan seharusnya berganding bahu menghasilkan makanan ayam tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import dari negara luar.
“Kita percaya dengan memperkasa program meningkatkan sumber dan bekalan makanan sahaja kita dapat mengatasi isu kenaikan harga sekali gus mengurangkan kos sara hidup dan bebanan rakyat,” tegas beliau.