DITAHAN.. Dua (bertanda X) dari pada tiga suspek yang ditahan polis untuk siasatan lanjut.
PENAMPANG: Polis berjaya menumpaskan dua kegiatan pengedaran dadah menerusi dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini semalam, dengan penahanan tiga lelaki serta rampasan dadah disyaki serbuk ekstasi dan ketamin bernilai untuk siasatan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang dalam satu kenyataan berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada 9 Julai itu berjaya menahan seorang lelaki warga asing dan dua lelaki tempatan.
Menurut beliau, dalam serbuan pertama kira-kira jam 2 petang di Beverly Hills, Jalan Bundusan, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 83.83 gram dan ketamin seberat 1.42 gram,” katanya.
Beliau berkata, susulan maklumat risikan, polis melancarkan satu lagi operasi kira-kira jam 3.40 petang di sebuah kondominium di daerah ini yang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 22 tahun.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 81.39 gram dadah disyaki serbuk ekstasi dan 1.75 gram ketamin.
Secara keseluruhan, polis merampas 165.22 gram serbuk ekstasi dan 3.17 gram ketamin, selain menyita beberapa kenderaan serta telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, atau jika hukuman mati tidak dikenakan, penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, polis menyeru orang ramai supaya menjauhi penyalahgunaan dadah dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau pengedaran dadah bagi membantu usaha membanteras sindiket berkenaan.



