29 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Persatuan Pemilik Bas Awam antara yang terima Insentif Wilayah Cakna

ASMADI….. terima kasih Perbadanan Labuan

LABUAN: Seramai 112 ahli Persatuan Pemilik Bas Wilayah Persekutuan Labuan adalah antara golongan yang menerima bantuan Insentif Wilayah Cakna sempena COVID 19.

Pengerusi Persatuan itu, Asmadi Haji Ahmad berkata, kesemua mereka telah menerima bantuan RM500 secara one off yang di masukan terus ke dalam akaun ahli masing masing.

Beliau berkata pemberian secara one off itu adalah hasil daripada permohonan jawatankuasa persatuan itu kepada Perbadanan Labuan agar ahli-ahli Persatuan Pemilik Bas juga diberikan pertimbangan untuk menerima bantuan tersebut kerana mereka merupakan usahawan kecil yang turut terkesan dengan COVID 19.

CERIA…. sebahagian ahli-ahli Persatuan Pemilik Bas Labuan ceria selepas menerima bantuan Insentif Wilayah Cakna.

“Pihak persatuan mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Labuan yang telah meluluskan permohonan kami. Pada masa yang sama kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang telah menyokong dan membantu persatuan untuk mendapatkan bantuan Insentif Wilayah Cakna.”katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban ahli-ahli persatuan yang turut terkesan dengan COVID 19.

Insentif Wilayah Cakna merupakan salah satu penambahan insentif di bawah Program Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, Kementerian Wilayah Persekutuan khusus untuk warga Labuan yang diselaraskan oleh Perbadanan Labuan.

Antara golongan sasar yang menerima manfaat bantuan insentif Wilayah Cakna ini ialah peniaga dan penjaja kecil yang mempunyai lesen niaga di kawasan Pusat Tranformasi Bandar (UTC), Pasar Sentral, Pasar Malam, Medan Selera, Pasar Tani dan lot lot kedai milik Perbadanan Labuan diberikan pengecualian bayaran sewa premis perniagaan selama enam bulan bermula Mac 2020.

Turut mendapat manfaat itu ialah para peniaga dan penjaja kiosk di Kompleks Ujana Kewangan.

Selain itu, golongan ini juga turut mendapat bantuan RM500 secara one off.

Manakala warga Labuan yang menyewa rumah di perumahan awam milik Perbadanan Labuan juga tidak dikecualikan untuk menerima manfaat itu apabila mereka diberi pengecualian bayaran sewa selama enam bulan bermula Mac hingga Ogos 2020. TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN