Gambar atas: Robert menyaksikan mereka yang menderma darah.
KENINGAU:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin menyeru para persatuan, badan-badan sukarela dan badan bukan kerajaan (NGO)yang lain supaya tampil membantu Tabung Darah Hospital Keningau yang kekurangan stok darah pada masa ini.
Katanya, cara membantu adalah menganjurkan kempen derma dari masa ke semasa bagi menggalakkan penyertaan penderma darah di daerah ini.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, tabung darah hospital Keningau sememangnya memerlukan stok darah sepanjang masa bagi kegunaan pesakit yang memerlukan tambahan darah.

Robert menemui para penderma darah yang menunggu giliran.
“Justeru itu kekerapan penganjuran kempen derma darah adalah dialu-alukan bagi membolehkan tabung darah hospital mempunyai stok darah yang mencukupi sepanjang masa” katanya kepada media semasa menghadiri program Kempen Derma Darah Perdana 2022 anjuran Persatuan Pelancongan Dan Kebudayaan Keningau dengan kerjasama Unit Transfusi Darah Hospital Daerah Keningau, KRT dan beberapa badan sukarela, persatuan dan NGO di daerah ini yang berlangsung di tapak pasar malam di sini hari ini.
Sebanyak 132 pain darah berjaya dikumpul dalam Kempen Derma Darah Perdana itu yang menyaksikan kehadiran lebih kurang 200 penderma darah di sekitar daerah ini.
Pada masa sama Robert menghargai kehadiran orang ramai terutama para penderma darah dalam kempen derma darah itu.
Penyumbang darah teramai adalah ahli-ahli KRT daripada badan-badan KRT dibawah Pentadbiran Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN)Daerah Keningau yang menyaksikan kehadiran seramai 130 orang ahli KRT.
Turut berada di lapangan, Pengerusi Pelancongan Dan Kebudayaan Keningau Rafie Robert dan Pegawai JPNIN Daerah Keningau John Aping.
Selain menerima sijil penghargaan, para penderma darah turut menerima sekampit beras 10kg dan baju T-shirt yang disediakan oleh pihak penganjur.