TERIMA KASIH…Datuk Jonathan (kiri) menerima cenderakenangan disampaikan Zubaidah disaksikan yang lain.
RANAU: Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin menyifatkan, permuafakatan dan kerjasama antara guru-guru dan ibu bapa menjadi ‘tonik’ dan pemangkin kepada kejayaan anak-anak di sesebuah sekolah.
Menurutnya, komitmen penuh guru-guru dengan sokongan para ibu bapa dalam memancarkan pembelajaran sama ada Kurikulum (Akademik) atau bidang Kokurikulum (kesukanan) juga menjadi penentu kehidupan cemerlang masa depan anak-anak.
“Guru-guru mempunyai masa yang terhad bersama anak-anak di sekolah, berbanding dengan masa mereka bersama ibu bapa di rumah, justeru ibu bapa yang merupakan ‘Guru Pertama’ di rumah punyai berperanan penting memulakan bimbingan serta asuhan awal sebelum menghantar mereka ke Tadika atau Prasekolah.
“Syabas dan tahniah kepada guru-guru dan ibu bapa di sekolah ini yang banyak menyumbang khidmat bakti terhadap pendidikan anak-anak”, jelas Datuk Jonathan ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan SMK.Matupang Jaya di Dewan Serbaguna Kg.Matupang, terletak kira-kira 46 kilometer dari pekan Ranau baru-baru ini.
Datuk Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau, mengharapkan kepada ibu bapa supaya sentiasa aktif menyertai program PIBG dan pihak sekolah demi faedah anak-anak.
“Komunikasi positif dikalangan ibubapa dan anak-anak juga amat penting dipupuk supaya anak-anak berasa dirinya sentiasa mendapat perhatian ibu bapa dan tidak melibatkan diri dengan kegiatan tidak bermoral”, tegas Datuk Jonathan sambil mengumumkan dan meluluskan RM5 ribu kepada PIBG SMK.Matupang Jaya untuk menampung kos program dan aktiviti yang akan dilaksanakan.
Kerajaan katanya, sentiasa membantu pihak PIBG dan sekolah dalam bentuk kewangan atau projek, namun peruntukan akan disalurkan secara berperingkat mengikut keutamaan.
Turut berucap mewakili warga sekolah ialah, Pengetua SMK.Matupang Jaya, Zubaidah Binti Ahmat dan YDP PIBG, Markus Guntidong.
Menyerikan majlis ialah acara cabutan Nombor Hadirin Bertuah dengan hadiah-hadiah berupa makanan ringan serta peralatan dapur.