Antara peserta menjayakan Gotong Royong itu sempat merakam gambar bersama Tan Eng Sing (tiga kiri).
RANAU: Permuafakatan antara Majlis Daerah Ranau (MDR) bersama Jawatankuasa Kesejahteraan Dalam Bandar (JKDB) Pekan Ranau, merupakan antara inisiatif yang positif dalam usaha mewujudkan kebersihan, Keceriaan, kecantikan dan Keselamatan kawasan pekan.
Pegawai Eksutif Majlis Daerah Ranau, Jupirin Bin Haji Ruhimin dan Pengerusi JKDB pekan Ranau, Tan Eng Sing ketika ditemui dalam satu Gotong Royong membersihkan kawasan Tamu berhampiran Sungai Liwagu di sini baru-baru ini, menyeru kepada orang ramai termasuk para pelancong ke Ranau agar memberi kerjasama untuk menjadikan daerah Ranau sebagai ‘Sifar Sampah’ demi kepentingan bersama.
“Kita juga memohon orang awam agar sentiasa menjaga kebersihan pekan Ranau dan Kundasang yang merupakan antara destinasi pelancongan utama di Sabah malah di Malaysia dan antarabangsa”, jelas Tan Eng Sing sambil memberitahu antara kawasan yang dibersihkan sempena gotong royong secara bulanan itu ialah, persekitaran tapak atau kawasan luar dan dalam Tandas Awam Tamu mingguan dan bangunan berhampiran.
“Gotong royong seperti ini akan diadakan dari masa ke semasa mengikut keperluan termasuk kawasan dan perkadaran pekan Ranau”, jelas Tan sambil merakam penghargaan dan terima kasih atas kehadiran dan penyertaan daripada 20 orang menjayakan program tersebut iaitu, MDR (5 orang), JKDB (5 orang), Puspanita (7 orang) dan 3 orang lagi dari Skuad Kebersihan pekan Ranau.
Tan mengharapkan agar lebih ramai lagi kehadiran ke gotong royong yang sama pada masa akan datang.
“Menerusi gotong royong dapat menyiapkan sesuatu kerja dengan lebih cepat, menjimatkan kos serta mampu mewujudkan perpaduan serta permuafakatan sedia terjalin dikalangan peserta dengan penduduk setempat”, tambah Tan Eng Sing.
              Â