Sesi pertukaran cenderahati antara IDS dan UMS
KOTA KINABALU: Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Penyelidikan UMS dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), di Wisma IDS, di sini, baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, program itu antara lain bertujuan membantu pihak Jabatan Penjara Malaysia (JPM) menghasilkan satu ekosistem kajian Pengesanan Bekas Banduan yang mengikuti dua program kelolaan PPIB sejak tahun 2022.
“Pogram yang dikendalikan oleh PPIB itu ialah projek The Scholars bagi banduan muda dan The Enrichment bagi banduan dewasa.
“Dalam projek penyelidikan ini, IDS menyumbangkan dana bernilai RM35,000 untuk membangunkan aplikasi pengesanan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut Dr. Rosalam, projek itu akan diterajui oleh penyelidik-penyelidik UMS merupakan satu bentuk kerjasama yang julung kalinya diadakan dengan kerjasama IDS dan JPM.
“Adalah menjadi harapan agar semua perancangan bagi perjanjian penyelidikan ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan membuahkan hasil sekali gus membawa manfaat besar bukan sahaja kepada golongan bekas banduan, tetapi juga kepada semua pemegang taruh di Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya.
“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak IDS dan JPM yang telah menyambut baik kerjasama ini.
“Tahniah juga diucapkan kepada Dekan PPIB, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng atas sokongan beliau terhadap para penyelidik dari PPIB, khususnya kepada Dr. Esther Jawing dan Junaidah Januin yang telah memulakan inisiatif kerjasama ini,” tambah Dr. Rosalam.
Majlis perasmian majlis tersebut disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Prof. Madya Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul.
Hadir sama, Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Timbalan Komisioner Penjara Hajah Nora Musa bersama Timbalan Pengarahnya, Penolong Kanan Komisioner Abd Rauf Lang Pasih; Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu, Penolong Kanan Komisioner Teyun Thian Eim; dan Dekan PPIB UMS, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng.
.